AFGAN bersatu cemerlang dengan muzik orkestra yang cukup megah.
AFGAN bersatu cemerlang dengan muzik orkestra yang cukup megah.
Georgie Joseph


Afgan sememangnya antara penyanyi Indonesia yang sentiasa dinantikan persembahannya di sini. Peminat Malaysia tidak pernah bosan menonton persembahannya.

Terbaharu, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 34, menjayakan konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Berbeza dengan konsert terdahulu, 'repertoire' ditampilkan bukan kebiasaan. Banyak juga karya hit kegemaran ramai tidak dimasukkan dalam senarai lebih 25 lagu dipersembahkannya.

Bagaimanapun, ia tidak menggugat keterujaan lebih 3,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert berdurasi hampir tiga jam itu. Rata-rata cukup terpesona dengan kemerduan serta canda santai Afgan.

Yang pasti, dia sendiri cukup bersemangat memberikan persembahan sebaik mungkin apatah lagi dengan iringan pemuzik orkestra. Susunan lagunya lebih megah dengan set pentas pun sangat menarik.

Menurutnya, dia tidak pernah bosan datang menghibur di sini. Baginya, sokongan yang terus diraih daripada peminat Malaysia sangat bermakna buatnya sepanjang bergelar anak seni.

"Walaupun tahun lalu saya adakan konsert di sini, tapi kamu semua tetap hadir lagi kali ini. Terima kasih sokongan yang tidak terhingga. Malaysia pun bukan lagi asing buat saya, ini adalah rumah kedua saya," katanya.

Pada malam itu, Afgan banyak menunjukkan sisi berbeza sebagai penyanyi. Demi menyesuaikan dengan tema orkestra, cara pembawaan dirinya atas pentas tampak ada kelas tersendiri dan demikian juga pemilihan persalinannya.

PERTAMA kali menyanyi lagu duet Percayalah bersama Raisa di Malaysia.
PERTAMA kali menyanyi lagu duet Percayalah bersama Raisa di Malaysia.

Memilih persalinan daripada pereka tempatan iaitu Shal, rata-rata warnanya cuma menggunakan hitam dan putih. Sekali gus, menampakkan lagi formalitinya di situ sesuai dengan tema muzik orkestra.

Satu hal mengenai Afgan, nyanyiannya yang cukup mempesona sentiasa menusuk hati penonton. Keindahan terjemahan setiap bait lirik nyanyiannya kedengaran begitu ikhlas dari hati.

Afgan juga tidak keseorangan pada konsert kali ini. Dia menampilkan penyanyi jemputan yang bukan calang-calang iaitu Raisa, sekali gus menjadikan kehangatan malam terbabit lebih berganda.

Lebih istimewa, itu kali pertama mereka menyanyikan lagu duet, Percayalah di Malaysia. Kalau tidak sebelum ini, mereka hanya menyanyikan lagu itu sendirian dan rasa tidak lengkap.

Bukan sekadar peminat, turut hadir menyokong adalah keluarga tercinta dan sahabat handai dari Indonesia. Afgan nyata cukup tersentuh dengan kehadiran mereka selain rakan artis dari Malaysia juga.

Namun, acara menjadi lebih gamat apabila dia mengajak semua berdiri dan menari untuk lagu Lenggang Puspita. Rutin itu sudah menjadi wajib buatnya dalam setiap konsert.

Pada segmen itu peminat dapat meregangkan ketegangan dan lebih bebas bergerak. Suasana pun semakin riuh kerana Afgan juga menunjukkan kelincahan mencuit hati atas pentas.

Enggan kecewakan penonton, dia turut membuka segmen permintaan khas untuk lagu yang tiada dalam senarai. Antara yang diminta termasuk lagu Entah dan Sudah di mana dia nyanyikannya secara spontan.

Lagu dipersembahkan pada malam itu termasuk Overture, Jalan Terus, Mengertilah Kasih, Ada, Brand New Day, Rollercoaster, Pesan Cinta, Pendam, Kunci Hati, Knock Me Out, Setia Menunggu, Tanpa Bahsa dan Untukmu Aku Bertahan.

Tidak ketinggalan, Ku Mohon, Say I'm Sorry, If I Don't Have Your Love, Love Again, Lestari Merdu, Dia Dia Dia, Jodoh Pasti Bertemu, Bukan Cinta Biasa, Panah Asmara, Kau Dengannya Ku Dengan Dia dan Bawalah Pergi Cintaku.

Sejurus tamat, Afgan juga sempat mengadakan sesi bertemu peminat.

Dianjurkan Renjana Idea, tiket konsert Afgan Live In Concert With Orchestra itu juga habis dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 6:12 AM