KONSEP muzik R&B digarap elemen blues, elektronik dan orkestra dengan melodi lebih matang.
KONSEP muzik R&B digarap elemen blues, elektronik dan orkestra dengan melodi lebih matang.
Nor Akmar Samudin


Bintang sensasi Indonesia, Afgan bakal kembali ke Malaysia untuk menjayakan konsert Afgan Sides Live In Malaysia 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 3 September ini bermula jam 8 malam.

Konsert satu malam dipersembahkan oleh Obermain dan anjuran Dazzling Lifestyle itu sempena kelahiran album terbarunya berjudul Sides.

Ia adalah album susulan selepas kejayaan album Live To Love, Love To Live yang diterbitkan tiga tahun lalu.

Afgan berkata, Sides membawa kelainan dengan menampakkan garapan muzik dan melodi yang lebih matang dengan pelbagai variasi berbanding albumnya sebelum ini.

“Saya masih mengekalkan konsep muzik R&B, tetapi digarap dengan elemen blues, elektronik dan orkestra, sekali gus menjadikannya lebih segar.

“Dengan elemen baru itu, saya berjaya membawa satu keindahan baru pada lagu cinta yang sudah menjadi ‘trademark’ saya,” katanya.

Bercerita mengenai konsertnya itu, Afgan berkata, bagi menghangatkan lagi persembahannya, dia mengundang penyanyi rap popular tanah air, SonaOne.

Afgan yang popular dengan lagu seperti Katakan Tidak, Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Knock Me Out kini turut menempa nama sebagai pelakon di Indonesia.

Percubaannya sebagai pelakon tidak sia-sia apabila diberikan watak utama dalam filem Cinta 2 Hati dan Refrain.

Selain itu, dia juga bekerja di sebalik tabir sebagai salah seorang pengarah filem Gila.

Dengan popularitinya juga, Afgan terpilih menggantikan penyanyi Anggun sebagai juri dalam program X Factor Indonesia.

Afgan yang sudah menghasilkan empat album, satu EP dan pernah bekerjasama dengan nama besar dalam industri muzik Asia Tenggara seperti Bebi Romeo, Datuk Rossa, Raisa dan Taufik Batisah turut berhasrat mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.

Dia bercadang untuk bekerjasama dengan Mark Hill dari United Kingdom yang dikenali sebagai penerbit untuk album Craig David dan Ed Sheeran.

Untuk rekod, Afgan pernah memenangi lima anugerah daripada 19 pencalonan di Anugerah Muzik Indonesia (AMI).

Di luar tanah airnya, dia juga pernah memenangi Artis Lelaki Terbaik di Anugerah Muzik Dunia, Artis Asia Terbaik (Festival Lagu Asia), Artis Asia Terbaik (Asia Song Festival) dan Pertubuhan Harta Antarabangsa Dunia (WIPO) selain pernah dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM), di sini.

Populariti Afgan di sini terbukti apabila tiket konsertnya yang berharga RM788, RM288 dan RM188 sudah habis dijual. Kini hanya tinggal tiket berharga RM588 (Diamond), RM488 (Platinum) dan RM388 (Emas) masih dijual.

Penonton juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak 15 peratus dengan menggunakan resit pembelian dari pada butik Obermain. Selain itu, pemegang tiket boleh menggunakan tiket itu untuk menikmati diskaun tambahan untuk barangan Obermain yang tertentu.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila hubungi 03-92228811 atau layari www.ticketcharge.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:11 AM