ANGGAP Malaysia sebagai rumah keduanya.
ANGGAP Malaysia sebagai rumah keduanya.
Ridzuan Abdul Rahman


NAMA penyanyi terkenal Indonesia, Afgan bukan asing dan tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat di rantau ini.

Sejak awal kemunculannya, bintang berusia 34 tahun ini berjaya memukau pecinta muzik dengan kemerduan suara menerusi deretan lagu yang dihasilkan.

Tidak hanya mengecap kejayaan luar biasa di negara kelahirannya, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza turut mencipta fenomena di Malaysia.

Selain lagu, kualiti vokal dimiliki membuatkan ramai yang kagum dan jatuh cinta terutamanya di kalangan peminat wanita.

Seiring kematangan usia pembabitannya dalam industri muzik Indonesia yang sudah mencecah 15 tahun, Afgan juga menjadi antara penyanyi yang kerap mengadakan konsert solo termasuk di Malaysia.

Kejayaan konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu menjadi penanda aras baharu Afgan untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setianya di sini.

Atas sambutan dan permintaan ramai, Afgan bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember ini.

Afgan yang baru selesai menjayakan konsert Afgan Evolution Live In Jakarta, pada 1 Julai berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysia bagi menghiburkan seluruh peminat.

"Tidak dinafikan, Malaysia ibarat rumah kedua saya dalam berkarya. Setiap lagu saya diterima baik dan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat.

"Apatah lagi setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya.

AFGAN teruja untuk kembali menghiburkan peminat Malaysia.
AFGAN teruja untuk kembali menghiburkan peminat Malaysia.

"Sejujurnya, saya juga tidak menjangka penganjur sekali lagi memilih saya untuk mengadakan konsert selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu," katanya.

Menurutnya, penganjur tentunya ada alasan tersendiri memilihnya. Selain itu dia juga senang bekerjasama dengan mereka.

"Apa boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) ini, ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada MPO.

Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya 'it's amazing'!. Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti," katanya.

Berbeza dengan konsert sebelum ini, pada Afgan Live In Concert With MPO bakal menyaksikan Afgan menyanyikan lagu-lagu popularnya.

Menariknya juga, pada konsert ini turut menghiburkan peminat adalah penyanyi jemputan yang bakal diumumkan penganjur kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:30 AM