MANSOR (kanan) meninjau  pondok Mohd Rahim (kiri) yang dibina di dalam  semak. FOTO Sabaruddin Abd Ghani.
MANSOR (kanan) meninjau pondok Mohd Rahim (kiri) yang dibina di dalam semak. FOTO Sabaruddin Abd Ghani.
Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Dia bukan dipinggir keluarga, namun seorang lelaki warga emas lebih selesa tinggal di pondok dibina sendiri yang hanya beralaskan plastik dan kanvas di kawasan semak di Kampung Binjul Dalam, Kuala Ketil dekat sini.

Walaupun terasing daripada penduduk, selain berdepan ancaman haiwan, Mohd Rahim Mohd Saman, 77, yang juga mengalami masalah pendengaran selesa tinggal di situ sejak empat tahun lalu.

Bagaimanapun, difahamkan, dia berkelakuan begitu berikutan masalah kemurungan sehingga pada usia 18 tahun menyebabkan dia lebih suka menyendiri.

Mohd Rahim berkata, dia seronok menjalani kehidupan sebatang kara kerana tidak perlu memikirkan untuk mencari nafkah keluarga.

“Saya tidak takut kerana pondok ini cuma tiga meter dari jalan raya, malah jika ada orang yang lalu mereka singgah dan hulurkan roti, kuih serta nasi bungkus.

“Setakat ini, saya tidak diganggu binatang liar dan berbisa, cuma biawak sering mencari sisa makanan berhampiran pondok ini,” katanya, kelmarin.

Tinjauan mendapati pondok dibina itu tersorok dalam semak berhampiran kebun getah dan berbau busuk akibat sampah serta sisa makanan yang bersepah.

Mohd Rahim hanya tidur beralas kain buruk dan berbantalkan kertas serta menggunakan lilin pada waktu malam.

Adiknya, Noriah Che Man, 72, berkata, abangnya tidak mengganggu atau mencederakan orang, selain boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat atau kertas untuk dibaca.

“Kami tidak pulaukan dia, malah membina bilik khas berhampiran rumah saya dengan bekalan air dan elektrik, selain sediakan makan minum. Namun, dia enggan tinggal di situ dan lari ke pondok usangnya.

“Kami berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini dia menerima RM300 sebulan sejak empat tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata, pihaknya mendapatkan kerjasama JKM Baling bagi mencari jalan mengatasi masalah itu supaya lelaki berkenaan boleh hidup sempurna.

“Cara terbaik memujuk lelaki itu tinggal di rumah kebajikan. Saya berbincang dengan keluarganya dan mereka bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 10:05 AM