WANITA malang itu bersama dua anaknya dalam pondok usang dihuni mereka.
WANITA malang itu bersama dua anaknya dalam pondok usang dihuni mereka.
MOHD Zaili (kiri) mengambil keterangan daripada wanita terbabit.
MOHD Zaili (kiri) mengambil keterangan daripada wanita terbabit.
Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: Kisah sebuah ‘keluarga’ mempunyai dua anak kecil berusia empat tahun dan tiga bulan tinggal di pondok dalam hutan di Batu 7 Jalan Gambang, di sini, yang menjadi viral di laman sosial Facebook (FB) sejak malam kelmarin dianggap selesai apabila mereka dibawa ke Kompleks Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), semalam.

Harian Metro yang mengunjungi pondok itu dimaklumkan, seorang wanita berusia 34 tahun tinggal di situ bersama seorang lelaki tanpa ikatan perkahwinan sah bersama dua anaknyamasing-masing berusia empat tahun dan tiga bulan yang tiada sebarang pengenalan diri.

Namun, lelaki berkenaan tiada di pondok itu ketika kunjungan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MUIP dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

Difahamkan, tahun lalu wanita itu diserahkan kepada JKM apabila ditemui tinggal di kawasan semak di Jalan Pintasan-Bukit Rangin, dekat sini, bersama anak berusia tiga tahun.

Wanita itu turut mempunyai lima anak hasil perkahwinan terdahulu, namun semua anaknya dijaga keluarga mentuanya.

Ketika disoal, wanita dari Kampung Marhum, Pekan, memaklumkan dia menetap di pondok berkenaan lebih setahun lalu akibat kesempitan hidup bersama seorang lelaki bekerja sebagai buruh di kawasan berhampiran yang berjanji akan mengahwininya.

Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP Fathullah Saadon berkata, pihaknya memindahkan wanita itu bersama dua anaknya ke kompleks berkenaan untuk keselesaan tiga beranak terbabit selain memudahkan urusan bantuan serta siasatan.

Katanya, MUIP akan melakukan siasatan lanjut terhadap wanita berkenaan terutama maklumat diri dan status perkahwinannya.

“MUIP mengambil langkah segera memindahkan mereka ke rumah asnaf bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, tambahan pula ada dua kanak-kanak bersamanya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Mohd Zaili berkata, perkara berkenaan perlu diselesaikan secara sempurna membabitkan MUIP, JKM serta polis kerana banyak isu berbangkit daripadanya.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam) saya lega dengan tindakan segera MUIP yang memindahkan mereka ke tempat lebih selamat,” katanya.

Menurutnya, pihak yang menyebarkan kisah seperti itu perlu membuat siasatan terperinci bagi mengenal pasti kesahihan maklumat bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat terhadap pihak berkuasa.

“Tahun lalu kita sudah bantu wanita ini, namun bila timbul isu ini kita dapat lihat pelbagai tuduhan tidak berasas disebarkan di media sosial, saya nasihatkan pihak berkenaan siasat dulu kesahihan maklumat sebelum menyebarkan cerita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 7:55 AM