FATIN Suhana menyapu krim pelembab pada kulit anaknya Muhammad Izzat Rafael yang mengidap penyakit Pustular psoriasis. FOTO Noorazura Abdul Rahman
FATIN Suhana menyapu krim pelembab pada kulit anaknya Muhammad Izzat Rafael yang mengidap penyakit Pustular psoriasis. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Pokok Sena: "Siang malam anak saya menangis apabila panas, dia menggaru kulitnya yang berkuping hingga jatuh dan jika dibiarkan semut turut gigit badannya," kata Fatin Suhana Mohd Zamri, 26.

Fatin berkata, penderitaan itu dialami anak keduanya, Muhammad Izzat Rafael Zulnazmi, 2, yang menghidap penyakit Pustular psoriasis sejak berusia sebulan.

Katanya, bagi meredakan kesakitan yang ditanggung selain mengelak kulitnya menjadi kering, Izzat perlu disapu krim pelembab dari semasa ke semasa.

"Anak saya tidak boleh pakai baju, jika berpeluh dia akan merengek kerana rasa gatal dan seluruh badan menjadi kemerah-merahan.

"Biji kecil akan timbul di hampir seluruh badannya dan paling banyak di dada dan perut. Doktor cakap anak saya menghidapi penyakit kulit disebabkan genetik.

"Namun sepanjang pengetahuan kami, keturunan saya dan suami tiada pula yang menderita penyakit kulit ini dan anak sulung juga tidak mengalami sebarang masalah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Batu 13 di sini.

Suri rumah itu berkata, akibat kerap digaru kulit Izzat turut bernanah selain mengeluarkan bau.

Menurutnya, mereka sudah cuba merawat penyakit itu menggunakan pelbagai kaedah termasuk cara Islam dan tradisional, namun keadaan anaknya itu tidak banyak berubah.

"Di mana saja kami dengar ada yang boleh merawat penyakit kulit, kami akan pergi, malah baru-baru ini kami bawa ke Izzat ke Pahang.

"Kami pernah cuba perubatan Islam di Selangor tahun lalu, memang berkesan selama tiga hari namun selepas itu penyakit kulit anak jadi balik," katanya.

Sementara itu, suaminya, Zulnazmi Che Ismail, 28, berkata, dia tidak mampu menampung kos perubatan anaknya berikutan hanya bekerja mengusahakan sawah dengan pendapatan kira-kira RM1,200.

"Kos rawatan anak saya sangat tinggi, contohnya perubatan Islam di Selangor mencecah RM800 bagi satu sesi, memang kami tidak mampu walau ada kesan positif.

"Setiap bulan saya memperuntukkan RM500 bagi rawatan, ubat dan pelembab dari klinik swasta. Sebelum ini memang dia dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan kini kami cuba rawatan swasta pula," katanya.

Zulnazmi berkata, dia berharap anaknya itu kembali sembuh dan dapat hidup normal serta bermain seperti kanak-kanak lain.

Orang ramai yang mahu membantu kanak-kanak terbabit boleh menghubungi Fatin di talian 013-7066858.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 3:52 PM