CIKGU Umar ketika dipanggil mengajar teknik menjawab soalan peperiksaan kepada pelajar di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, baru-baru ini.
CIKGU Umar ketika dipanggil mengajar teknik menjawab soalan peperiksaan kepada pelajar di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, baru-baru ini.
Mahaizura Abd Malik 

 

DIA sanggup mengagihkan RM900 sebulan daripada hasil pendapatannya sebagai guru untuk menampung kos operasi pusat tuisyen percuma dikendalikan khusus bagi pelajar miskin.

Itulah pengorbanan dan usaha murni Ummar Muhammad Hanip, 27, kini menguruskan Pusat Tuisyen Cikgu Umar di Bandar Rinching, Seksyen 4, Semenyih, sejak bulan lalu.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, kekangan kewangan menyebabkan ramai dalam kalangan ibu bapa kurang menitikberatkan aspek pendidikan tambahan untuk anak masing-masing.

“Perkara itu mendorong saya melaksanakan inisiatif ini. Bagi saya biarpun anak mereka bersekolah, namun kelas tambahan tetap penting sebagai nilai tambahan selain ilmu yang diperoleh di sekolah. 

“Berikutan itu timbul rasa tanggungjawab untuk bantu pelajar miskin supaya mereka ada tempat belajar yang sempurna di luar waktu sekolah. Ibu bapa mereka tidak mampu membayar kos kelas pusat tuisyen yang mahal.

“Saya anggap ini sebagai satu pertolongan kecil kepada pelajar saya yang susah kerana mahu pendidikan mengubah nasib kehidupan mereka kelak,” katanya.

SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti kelas tambahan di Pusat Tuisyen Cikgu Umar di Bandar Rinching, Seksyen 4, Semenyih.
SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti kelas tambahan di Pusat Tuisyen Cikgu Umar di Bandar Rinching, Seksyen 4, Semenyih.

Guru di sekolah antarabangsa di Semenyih itu berkata, kelas tuisyen percuma itu sebenarnya dimulakan sejak September tahun lalu, namun beroperasi di rumahnya sebelum berpindah ke lokasi baru yang lebih sesuai dan selesa.

Menurutnya, dia menggunakan wang sendiri sebanyak RM7,000 untuk membuka pusat tuisyen itu dengan fokus mahu membantu anak daripada keluarga berpendapatan kurang RM2,500 sebulan, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim. 

“Sekarang ada 14 pelajar mengikuti tuisyen, jadi saya berpindah ke lokasi baru kerana ruang di rumah agak terhad. 

“Saya beri fokus kepada subjek Sejarah, Matematik dan Matematik Tambahan untuk pelajar tingkatan tiga hingga lima. 

“Pada hari biasa pusat tuisyen ini beroperasi dari 5 petang hingga 8 malam. Manakala setiap Sabtu dan Ahad kami beroperasi dari 9 pagi hingga 8 malam,” katanya. 

Bagi perancangan jangka panjang, Ummar bercadang untuk melengkapkan pusat tuisyen itu dengan perpustakaan mini bagi memudahkan pelajar mendapatkan bahan rujukan. 

“Buat masa ini, saya masih mampu menampung kos operasi, ada ibu bapa yang berkemampuan hulurkan sumbangan, selain itu isteri turut bantu saya uruskan pusat tuisyen ini. 

“Namun, saya mengalu-alukan mana-mana pihak sudi menghulurkan sumbangan buku rujukan dan buku latihan untuk kegunaan pelajar pusat tuisyen ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 10:43 PM