MUHAMAD Khairul Azkar  luangkan masa, tenaga dan wang demi melihat anak Orang Asli suku Temuan mampu kuasai kemahiran membaca dan mengira dengan baik.
MUHAMAD Khairul Azkar luangkan masa, tenaga dan wang demi melihat anak Orang Asli suku Temuan mampu kuasai kemahiran membaca dan mengira dengan baik.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Menjadikan pengalaman hidup membesar atas ihsan orang membuka mata lelaki ini untuk menyumbang sesuatu kepada komuniti dengan mengadakan kelas tuisyen secara percuma kepada anak Orang Asli.

Pengasas Kelas Kaseh, Muhamad Khairul Azkar Mohd Halim, 28, sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang demi melihat anak Orang Asli suku Temuan di Dengkil dan Semenyih mampu menguasai kemahiran membaca dan mengira dengan baik.

Jurutera pengeluaran di sebuah syarikat di Balakong itu berkata, dia berazam mahu membantu mereka yang kurang bernasib baik dan datang dari keluarga susah.

“Saya sudah berazam sejak kecil, sekiranya saya ada wang, kerja dan kehidupan lebih baik, saya mahu memberi sesuatu kepada komuniti.

“Disebabkan itu, saya memilih membantu anak Orang Asli yang agak terpinggir supaya mereka boleh menguasai kemahiran membaca dan mengira dengan baik tanpa apa-apa bayaran menerusi apa yang dinamakan Kelas Kaseh,” katanya.

Menurutnya, pendidikan dapat membantu komuniti itu mendapat kehidupan terbaik dan sempurna.

“Ini antara sumbangan yang saya mahu lakukan untuk komuniti. Saya tidak boleh beri sumbangan besar tetapi hanya melalui pendidikan saja dapat mengubah kehidupan anak Orang Asli kepada lebih baik.

“Lebih bangga apabila ada anak didik saya yang berjaya dalam peperiksaan, malah seorang daripada mereka pernah muncul murid terbaik Orang Asli peringkat Selangor untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada 2016 manakala tahun lalu seorang murid mendapat A dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

MUHAMAD Khairul Azkar menggunakan konsep ‘1 to 1’ apabila setiap seorang sukarelawan hanya mengajar seorang kanak-kanak Orang Asli.
MUHAMAD Khairul Azkar menggunakan konsep ‘1 to 1’ apabila setiap seorang sukarelawan hanya mengajar seorang kanak-kanak Orang Asli.

Muhamad Khairul Azkar berkata, setiap hujung minggu, dia akan meluangkan masa selama dua jam 30 minit menjadi guru sukarelawan mengajar 68 pelajar Orang Asli berusia enam hingga 32 tahun mata pelajaran Matematik, bahasa Inggeris serta membaca bahasa Melayu.

“Kelas Kaseh bermula 6 September 2015 di dua lokasi iaitu Surau Al-Ikhlas, Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil dan Surau Nur Iman, Kampung Orang Asli, Kachau Dalam, Ulu Semenyih yang diadakan setiap Ahad bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Sepanjang penubuhan kelas ini, kita sudah melatih 100 pelajar Orang Asli manakala tenaga pengajar terdiri daripada sukarelawan pelajar universiti.

“Sukarelawan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan saya tidak meletakkan apa-apa kriteria untuk mengajar anak Orang Asli ini asalkan ikhlas dan mengajar mereka dengan baik,” katanya.

Menurutnya, cetusan idea membantu golongan terbabit timbul berikutan dia berasakan kebanyakan Orang Asli tidak mendapat pendedahan pendidikan sewajarnya.

“Kami menggunakan konsep 1 to 1 apabila setiap seorang sukarelawan hanya mengajar seorang kanak-kanak Orang Asli.

“Ini kerana kami mahu mereka mendapat perhatian sepenuhnya dan berkongsi masalah pembelajaran di sekolah dengan sukarelawan secara terus.

“Selepas waktu pembelajaran selama dua jam, kami juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti menyanyi dan bersukan untuk menghiburkan hati mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:11 AM