AHMAD Fikri bersama seorang rakan sedang mengajar pelajar menerusi Skype. FOTO ihsan Ahmad Fikri Mohamad Locman
AHMAD Fikri bersama seorang rakan sedang mengajar pelajar menerusi Skype. FOTO ihsan Ahmad Fikri Mohamad Locman
Yusmizal Dolah Aling


SEJAK kecil, dia menyimpan hasrat menjadi pendidik, sama ada cikgu, pensyarah atau mengajar tuisyen kepada pelajar kerana ingin berkongsi ilmu kepada anak bangsa.

Keinginan itu tidak pernah padam biarpun tidak menjadi guru secara formal. Kini menggunakan aplikasi Skype, Ahmad Fikri Mohamad Locman, 34, mengajar tuisyen secara atas talian secara sepenuh masa.

Ahmad Fikri berkata, sejak lebih tiga tahun lalu, dia menjadikan pengajaran tuisyen atas talian sebagai kerjaya tetap untuk memenuhi cita-citanya dan ia timbul selepas tamat belajar jurusan Sarjana Kewangan, Pelaburan dan Risiko di Universiti Of Kent, United Kingdom.

Katanya, pengajaran tuisyen di media sosial sudah menjadi trend di negara ini sejak dua tahun lalu dan peluang itu dimanfaatkan untuk mengajar Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Fizik dan Biologi kepada pelajar di seluruh negara.

RUANG bacaan di rumah Ahmad Fikri yang dijadikan pusat tuisyen maya. FOTO ihsan Ahmad Fikri Mohamad Locman
RUANG bacaan di rumah Ahmad Fikri yang dijadikan pusat tuisyen maya. FOTO ihsan Ahmad Fikri Mohamad Locman

“Walaupun tidak ada pelajar depan mata atau secara fizikal, ia tetap menyeronokkan dan berkesan. Satu sesi saya peruntukan sejam untuk bersama pelajar, selain menggunakan Skype, saya juga ajar tuisyen di perpustakaan dan sehingga kini keseluruhan pelajar saya seramai 40 orang.

“Saya gunakan ruang membaca di rumah untuk sesi Skype dan Alhamdulillah, liputan Internet juga baik. Pernah beberapa kali terputus, tapi untuk tempoh masa singkat dan tidak menjejaskan pengajaran,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Fikri berkata, dia juga menyertai kumpulan di Facebook yang mengumpulkan pengajar di seluruh negara untuk berkongsi kaedah pengajaran secara interaktif dan dari situ dia memperbaiki corak penyampaian kepada pelajar.

Katanya, dia juga menyediakan ruang untuk pelajar bertanya menerusi WhatsApp dan Telegram dan ia mendapat maklum balas yang baik daripada ibu bapa terutama mereka yang inginkan anak belajar dalam suasana lebih menyeronokkan.

“Walaupun mempunyai kelulusan dari luar negeri, saya tidak kisah kalau jadi cikgu tuisyen selama-lamanya. Ini kerana, saya mulai suka dengan kerja ini dan ia juga cita-cita saya. Pernah beberapa kali saya minta kerja di kolej swasta, tetapi gagal.

“Saya terima itu sebagai rezeki. Tak apalah kalau jadi guru tuisyen atas talian, mengajar juga. Setakat ini keluarga memberi dorongan yang kuat kepada saya untuk teruskan dengan kerjaya ini. Saya kenakan bayaran RM50 untuk satu jam bergantung kepada subjek, sama seperti yang dibuat pengajar lain,” katanya.

Menurutnya, dia kini sedang mencuba beberapa aplikasi lain yang lebih sesuai untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran selain akan membuka syarikat untuk mengendalikan tuisyen berkenaan secara lebih formal.

Katanya, dalam jangka masa terdekat, dia juga merancang mempunyai pasukan pengajar pelbagai subjek untuk membantu pelajar menguasai ilmu dengan lebih berkesan.

“Ada yang kita akan sediakan secara percuma, bergantung kepada keadaan. Pasukan ini akan mempunyai iltizam yang sama kerana fokus kami adalah untuk membimbing anak bangsa supaya mereka berjaya dalam hidup,” katanya.

Sementara itu, pelajar Maktab Rendah Sains MARA Langkawi, Irdina Muhammad Sharil, 16 berkata, dia mengikuti kelas tuisyen melalui Skype sejak sebulan lalu untuk subjek Matematik Tambahan selepas diperkenalkan ibunya.

Katanya, pembelajaran menggunakan perisian itu memang menyeronokkan dan ia membantu dia lebih memahami apa yang diajar biarpun tidak ada guru di hadapan mata seperti dalam kelas biasa.

“Pada saya, tak susah sangat. Di rumah saya tak ada komputer, jadi saya gunakan telefon saja untuk Skype dengan cikgu. Dia juga guna perisian khas untuk ajar saya walaupun dia di Putrajaya dan saya di Langkawi.

“Seminggu saya ada tiga sesi. Ramai juga kawan-kawan yang bertanya, saya tunjuklah kaedah yang diguna dan mereka juga berminat. Saya akan terus belajar dengan konsep begini kerana ia membantu saya dalam menguasai subjek ini," katanya.

Seorang lagi pelajar Ahmad Fikri, Muhammad Hariz Farhan Hasnisham, 16, berkata, keluarganya mendapatkan khidmat pengajar itu untuk mengajar di asrama dan perpustakaan awam di Shah Alam sejak April lalu untuk meningkatkan kefahamannya dalam subjek Matematik Tambahan.

“Saya lebih faham konsep setiap topik dan penerangan yang diberikan juga mudah. Alhamdulillah, saya seronok belajar dengan kaedah ini," katanya pelajar Sekolah Menengah Sultan Alam Shah, Putrajaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 8:00 PM