Yusliza Yakimir Abd Talib

Melangkah penuh anggun persis model dengan wajah jelita, boleh dikatakan wanita ini memiliki pakej lengkap didambakan kaum hawa.

Bagaimanapun, siapa sangka di sebalik kejelitaannya, wanita berusia 27 tahun ini antara insan penting di belakang tabir pendidikan yang membantu pengukuhan ilmu pelajar.

Menjadi guru tuisyen bukanlah kerjaya glamor, tapi dek minat mendalam, ia menjadi pilihan hati walaupun kelayakannya dalam akademik bukan calang-calang.

Meskipun berlatarbelakangkan pendidikan dalam bidang fisioterapi, Nur’ Sara Khan Mahmed Khan yakin jalan yang dipilih tidak pernah silap malah memasuki tahun kesembilan bergelar guru tuisyen, dia mengakui hidupnya sempurna.

Boleh saja dia menempatkan diri dalam dunia glamor dengan pakej dimiliki iaitu bijak dan cantik tapi baginya melihat perkembangan positif setiap pelajar di kelasnya adalah kepuasan sebenar.

Mengimbas pengalamannya dalam kerjaya itu, wanita yang mesra disapa Sara Khan mengakui minatnya bercambah selepas pertama kali menjadi guru tuisyen pada umurnya memasuki 18 tahun.

DIKURNIAKAN pakej lengkap.
DIKURNIAKAN pakej lengkap.

Katanya, ketika itu adalah tahun pertama dia menuntut di institusi pengajian tinggi dan dia tidak mensia-siakan waktu terluang untuk menambah wang saku.

“Ibu bapa sudah lama berpisah dan sejak kecil saya sudah biasa berdikari. Jadi, saya ambil peluang jadi guru tuisyen secara sambilan selepas habis kelas.

“Saya sanggup berulang-alik dari kolej pengajian di Petaling Jaya ke Gombak untuk mengajar tuisyen pada sebelah malam. Walaupun perjalanan agak jauh dan saya pula terpaksa menaiki pengangkutan awam untuk ke sana kerana tiada kenderaan sendiri, saya nekad lakukannya disebabkan minat.

“Awalnya, memang ada halangan daripada ibu kerana dia mengimpikan saya menceburi bidang perubatan. Alhamdulillah, lama-kelamaan ibu memahami minat dan memberi sokongan tidak berbelah bagi buat saya,” katanya.

MINAT mengajar sejak dari kecil.
MINAT mengajar sejak dari kecil.

Menurutnya, selepas tamat pengajian dia pernah bekerja di hospital sebagai ahli fisioterapi. Bagaimanapun, kerjaya itu tidak lama kerana jiwanya lebih ke arah bidang pendidikan dan memilih guru tuisyen sebagai kerjaya tetap. Hatinya bagai dipanggil-panggil untuk meninggalkan kerjaya dalam dunia perubatan kerana tidak tahan dengan kerenah ‘miang’ sesetengah pesakit lelaki.

Berdepan dengan pelajar membuatkan hatinya tenang dan riang. Sara Khan mengakui berasa bahagia mengajar mata pelajaran Sains dan Biologi untuk pelajar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pusat tuisyen Math Clinic di sekitar Lembah Klang.

Selain kelas tuisyen, dia turut aktif menyertai pelbagai seminar dan klinik pengukuhan di sekolah dan sepanjang minggu, masanya dipenuhi dengan aktiviti mengajar.

“Ikutkan hanya hari Ahad saya bercuti daripada kelas di pusat tuisyen, tapi saya tetap buat kelas tambahan sendiri di rumah untuk pelajar.

“Kalau dilihat kebanyakan hari saya penuh dengan aktiviti mengajar, tapi ia tidak langsung membosankan malah menyeronokkan kerana semangat dan minat berkobar-kobar untuk melihat anak didik saya ada peningkatan dalam pelajaran.

“Saya akui memang kelas selalunya penuh kerana ramai yang suka teknik dan cara yang saya terapkan. Di hadapan pelajar, saya menjadi diri sendiri malah menganggap mereka seperti rakan yang boleh berbincang banyak isu.

“Secara tidak langsung kaedah itu sebenarnya dapat menarik minat mereka untuk belajar dan memahami apa yang dipelajari di sekolah,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa menekankan untuk mengubah corak pemikiran pelajar bahawa tidak semestinya mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran tertentu tidak boleh diselamatkan lagi.

Katanya, di sinilah letaknya peranan dirinya sebagai guru tuisyen yang berbeza dengan pendidikan formal di sekolah. Bukan menafikan kepakaran guru di sekolah tetapi pengajar di pusat tuisyen memainkan peranan penting dalam membantu mengukuhkan pemahaman subjek yang sudah dipelajari di sekolah.

Menurutnya, ramai pelajar yang memilih untuk menghafal dan bukannya benar-benar memahami subjek yang diajar dan ada kalanya sekadar mahu lulus peperiksaan. Justeru, dia yakin dengan bimbingan tambahan inilah dapat membantu pelajar lebih fokus dalam subjek berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, antara kelebihan dan faktor membuatkan dia ‘jatuh cinta’ pada kerjaya itu adalah waktu yang lebih fleksibel buatnya kerana kebanyakan kelas diadakan pada sebelah malam.

“Bagi saya, kegembiraan dan kepuasan sebenar apabila dipanggil ‘cikgu’ oleh pelajar. Saya begitu bangga membawa gelaran cikgu ini ke mana saja saya pergi dan ia seakan-akan satu penghormatan buat insan bergelar guru.

“Meskipun kerjaya ini seperti wira tidak didendang, saya lakukannya kerana niat untuk menyampaikan ilmu berguna yang saya yakin ada ganjaran pahala dengan setiap ilmu disampaikan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:30 AM