Fazurawati Che Lah


JIKA mahasiswa lain menghabiskan cuti hujung minggu dengan aktiviti harian, sekumpulan penuntut Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur memilih menyediakan kemudahan pendidikan tuisyen percuma kepada pelajar di sekitar Lembah Pantai yang berhampiran kampus.

Sejak April lalu setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, masa terluang itu dimanfaatkan 22 tutor yang juga mahasiswa universiti awam (UA) berkenaan untuk mengajar 70 pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Mahasiswa ini mengerah tenaga memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam pelajaran kepada pelajar berkenaan secara percuma.

Tuisyen percuma Smart Tutor itu dikendalikan bawah Sekretariat Sukarelawan UM (SEKRUM) memberi manfaat kepada pelajar tingkatan satu hingga lima dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai dan Bukit Angkasa, Kerinchi.

Ahli Jawatankuasa SEKRUM, Nuraian Athilah Safzeri, 20, berkata, Smart Tutor dibahagikan mengikut tahap pendidikan pelajar dan dikendalikan sepenuhnya sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa UM daripada pelbagai latar belakang jurusan pengajian.

Katanya, Smart Tutor yang juga program tahunan SEKRUM kali kedua itu berlangsung selama empat bulan saja dan memberi manfaat kepada lebih 150 peserta sejak tahun lalu.


Konsep yang menjurus kepada kaedah mengulang kaji lebih sistematik dan diterapkan supaya pembelajaran sentiasa bertepatan dengan silibus di sekolah.

“Menariknya, Smart Tutor turut menyelitkan aktiviti berkumpulan yang berfungsi untuk membina sahsiah diri positif dalam kalangan peserta.

“Hasilnya, hampir keseluruhan pelajar menunjukkan peningkatan prestasi dalam akademik di sekolah masing-masing,” katanya.

Tutor Bahasa Inggeris, Amirul Hakim Shamsudin, 20, berkata program berkenaan hanya berlangsung selama empat bulan, namun memberi impak besar kerana ada antara pelajar menunjukkan peningkatan prestasi dalam subjek yang diikuti dan lancar berbahasa Inggeris.

Katanya, konsep pengajaran yang lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan dan permainan melancarkan proses pemahaman peserta, terutama untuk subjek yang sering dianggap sukar, seperti matematik tambahan dan bahasa Inggeris.

“Mereka menunjukkan minat tinggi kerana pendekatan guru muda mengajar berkemungkinan tidak sama dengan apa yang diterima di sekolah masing-masing.

“Kami lebih banyak berinteraksi dan memberikan mereka motivasi supaya berjaya dalam pelajaran.

“Bagi memastikan setiap perkembangan akademik berjalan baik, kami kerap berinteraksi dalam aplikasi kumpulan WhatsApp untuk peserta bertanyakan mengenai subjek yang tidak difahami,” katanya yang juga penuntut tahun satu Sarjana Muda Bahasa Linguistik itu.

Amirul Hakim berkata, program itu turut memberi pengalaman berguna kepada pelajar universiti dalam membentuk kemahiran insaniah.

PENGGUNAAN teknologi turut disediakan bagi menarik minat pelajar Smart Tutor.
PENGGUNAAN teknologi turut disediakan bagi menarik minat pelajar Smart Tutor.

“Pelbagai kemahiran sebagai guru diperoleh daripada program ini seperti kemahiran menarik minat pelajar, pengurusan kelas dan komunikasi dengan ibu bapa.

“Ini semua bakal membantu kami dalam mempersiapkan diri ke alam pekerjaan selepas tamat pengajian kelak,” katanya.

Smart Tutor menyediakan kelas tuisyen percuma bagi subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, prinsip perakaunan, matematik dan matematik tambahan.

Setiap tutor yang mengendalikan kelas perlu melalui temu duga dan memenuhi kriteria ditetapkan sebagai tenaga pengajar, selain mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, Muhammad Nasrul Hilmi Khalid, 16, memberitahu dia mengikuti kelas tuisyen itu selepas diajak rakannya.

Pada awalnya dia ragu-ragu dengan kebolehan tutor kerana mereka adalah pelajar universiti dan bukan guru sebenar.

“Biarpun tutor ini dari kalangan mahasiswa, apa yang disampaikan dan diajarkan kepada kami selari dengan pembelajaran di sekolah.

“Saya juga gembira dengan teknik pengajaran yang santai dan tidak memberi tekanan. Kami banyak berinteraksi dengan tutor, jadi mudah untuk memahami subjek yang diajar terutama berkaitan Matematik Tambahan,” katanya.

Katanya, pencapaian akademiknya juga semakin baik apabila ramai guru memuji peningkatan dalam markah peperiksaan dan pengajaran dalam kelas.

Rakannya pula, Nur Seviia Mohammad Ridzwan, 16, pula berkata, banyak teknik penyelesaian masalah terhadap sesuatu subjek yang rumit diperoleh melalui Smart Tutor.

Kata Nur Seviia, tutor yang santai dan berusaha membantu pelajar menyelesaikan masalah dengan mudah menarik minatnya untuk lebih memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Selain teknik mengulang kaji, mereka juga menjadi sumber rujukan kami untuk maklumat berkenaan kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti di ibu kota.

“Secara tidak langsung, elemen ini menjadi penguat semangat kami untuk berusaha sehabis baik bagi membenarkan kami melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:58 PM