Redzuan Muharam

Semenyih: Ahmat Saridan Suhairi@Kassim bukan hartawan atau orang kaya kerana dulunya hanya seorang pengusaha bengkel kereta, bagaimanapun pandemik Covid-19 mengubah haluan hidupnya menjadi aktivis yang memperjuangkan nasib Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Menyedari keperluan anak istimewa itu selepas tamat persekolahan dan tidak mahu melihat mereka tercicir, Ahmat Saridan, 51, mengambil inisiatif menubuhkan pusat latihan dan asas pekerjaan OKU masalah pembelajaran dikenali Akademi Permata Impian (APIM).

Ahmat Saridan berkata, akademi itu ditubuhkan pada 2020 dengan bermodalkan wang simpanannya tetapi dihentikan seketika akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum diaktifkan semula Januari tahun lalu.

Biarpun sedar bukan mudah, Ahmat Saridan usahakan juga malah sanggup menyewa sebuah rumah di Seksyen 3, Bandar Rinching, di sini dengan bayaran RM1,500 untuk dijadikan akademi.

"Saya memahami keperluan insan istimewa kerana anak sulung saya (Iskandar, 24) juga OKU kategori autisme dan disleksia.

"Oleh kerana itu, saya tahu betapa sukarnya nak bina masa depan anak OKU kerana selepas habis mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah, mereka tiada ruang untuk lanjutkan pengajian seperti orang normal.

"Jadi, saya cuba ambil inisiatif untuk bantu mereka terutama OKU kategori masalah pembelajaran kerana ada dengar luahan daripada kenalan ibu bapa OKU yang bertanya ke mana hala tuju anak mereka selepas tamat sekolah," katanya ketika ditemui di APIM, di sini.

Menurut Ahmat Saridan, dia tidak berseorangan sebaliknya mendapat bantuan Yusmaniza Md Yunan, 51 dan anak bongsunya, Mashitah, 20, sebagai sukarelawan di APIM.

AHMAT Saridan  (tengah) bersama anak istimewa dan ibu bapa mereka  di Akademi Permata Impian (APIM) Seksyen 3, Bandar Rinching, Semenyih. FOTO SYAIFUL RAZIQ
AHMAT Saridan (tengah) bersama anak istimewa dan ibu bapa mereka di Akademi Permata Impian (APIM) Seksyen 3, Bandar Rinching, Semenyih. FOTO SYAIFUL RAZIQ

Pada masa sama, Ahmat Sharidan turut mendapat sokongan ibu bapa anak OKU yang menjadi pelatih antaranya Ayub Said 57, Noraini Mohd Salleh, 53, Noor Shahlawati Alias 49, Mokhtam Othman 50, Maryam Mansur 41, Syarifah Kasmon, 50, dan pesara guru PPKI, Aminah Sahji, 61.

"APIM dibuka pada Isnin hingga Khamis bermula jam 8 pagi sampai 12.30 tengah hari. Buat masa ini, ada 10 OKU masalah pembelajaran berumur 19 tahun ke atas menjadi pelatih di APIM namun bilangan yang hadir setiap hari tidak menentu kerana kita tidak boleh paksa dan kena mengikut emosi mereka juga.

"Rutin di akademi bermula dengan sarapan dan senaman diikuti kelas di bawah kendalian anak saya, Mashitah selaku pengajar yang membimbing pelatih membaca, menulis serta mengira.

"Habis kelas bersama Mashitah, kita adakan beberapa lagi aktiviti diadakan membuat biskut, memasak, membungkus dan menghasilkan kraftangan.

"Ada masa terluang, kita bawa juga anak istimewa itu keluar membeli belah bagi membolehkan mereka merasai pengalaman seperti orang normal," katanya yang masih mencari rezeki dengan mengambil upah membaiki kenderaan.

Ahmat Saridan berkata, APIM belum mendapat bantuan tetap daripada mana-mana pihak atau agensi.

Justeru, Ahmat Saridan dan ibu bapa terbabit perlu menggerakkan usaha mengumpul dana salah satunya dengan menjual biskut dan kraftangan dihasilkan pelatih OKU.

"Hasil jualan itu yang digunakan untuk kelangsungan akademi. Selebihnya, saya bersama ibu bapa pelatih perlu berkongsi wang sebagai modal untuk merangka aktiviti untuk pelatih dan paling penting membayar sewa bulanan serta bil utiliti.

"Jujurnya, ada yang mengatakan kerja saya ini sia-sia namun kepuasan saya adalah apabila nampak mereka (anak OKU) gembira datang berkumpul di sini," katanya yang menyimpan impian membuka pusat latihan sendiri satu hari nanti.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 12195010022901 atas nama APIM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 7:01 AM