Abd Halim (kiri) menyampaikan Anugerah Media Cetak kepada Azrul disaksikan Izhar. FOTO Supian Ahmad
Abd Halim (kiri) menyampaikan Anugerah Media Cetak kepada Azrul disaksikan Izhar. FOTO Supian Ahmad
Nor Azizah Mokhtar

WARTAWAN NSTP, Azrul Affandi Sobry dinobatkan sebagai pemenang kategori Anugerah Media Cetak untuk artikel bersiri berkaitan dadah pada majlis Malam Citra Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kajang, malam ini.

Azrul memenangi kategori menerusi penulisan laporan khas bersiri modus operandi pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand dan perairan negara yang disiarkan pada 2016.

Pendedahan secara konsisten selama dua bulan sejak Julai 2016 itu membolehkan pihak berkuasa melaksanakan operasi besar-besaran di pintu pagar sempadan dan Kuala Kedah dengan menahan individu terbabit dengan aktiviti pengedaran di situ.

Ketika ditemui, Azrul berkata, pendedahan itu dibuat ketika beliau bersama Unit Khas BH, dengan kerjasama AADK dirancang bagi membolehkan wartawan mendedahkan kegiatan pengedaran dadah membabitkan rakyat negara ini di Thailand.

“€œBukan setakat itu, selama lapan hari di Kedah, kami memantau pergerakan aktiviti pengedaran dadah di Kuala Kedah yang terkenal sebagai kawasan panas penagihan dadah.

“€œBagaimanapun, tanpa kerjasama AADK, agak sukar pendedahan itu dibuat kerana penyamaran kami perlu ke peringkat pembuktian berlakunya aktiviti pengedaran di situ,” katanya yang kini bertugas sebagai penerbit di Unit Multimedia NSTP.

Anugerah berprestij dalam bentuk sijil dan trofi itu disampaikan oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Pada majlis itu, Abd Halim turut menyampaikan tiga lagi anugerah pengiktirafan iaitu Anugerah Media Penyiaran (Televisyen), Anugerah Media Penyiaran (Radio) dan Anugerah Media Baharu.

Program 999 terbitan Media Prima Berhad menerima anugerah kategori Media Penyiaran (Televisyen), manakala Nasional FM untuk kategori Anugerah Media Penyiaran (Radio).

Wartawan dan pengacara program 999, Anim Ezati Md Khalid hadir menerima anugerah berkenaan.

Blogger Ben Ashaari pula menerima Anugerah Media Baharu.

Sebelum itu, Abd Halim dalam ucapannya berkata, Malam Citra AADK yang pertama kali dianjurkan itu sebagai pengiktirafan ke atas kecemerlangan warga AADK di seluruh negara dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Sebanyak 24 anugerah pelbagai kategori perkhidmatan cemerlang turut disampaikan kepada kakitangan dan AADK negeri pada majlis makan malam itu.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Izhar Abu Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 11:40 PM