BARISAN wartawan, jurugambar dan jurukamera Media Prima-NSTP yang memenangi lima hadiah utama dan enam merit. FOTO Mohd Adam Arinin
BARISAN wartawan, jurugambar dan jurukamera Media Prima-NSTP yang memenangi lima hadiah utama dan enam merit. FOTO Mohd Adam Arinin
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Media Prima - NSTP telah memenangi lima hadiah utama dan enam merit dalam majlis anugerah media Kinabalu Press Awards 2022, yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam ini.

Wartawan sambilan NSTP, Rafiqah Dahali memenangi anugerah hadiah utama bagi kategori Anugerah Laporan Berita (bukan rencana) untuk laporan bersiri 'Peniaga bundle di Korea kumpul dana bawa pulang jenazah ke Sabah'.

Disamping itu, wartawan sambilan New Straits Times, Ersie Anjumin memenangi hadiah utama Anugerah Laporan Hiburan, Budaya dan Seni (Bahasa Inggeris) untuk laporan 'Memelihara keaslian Baju Labuk agar terus hidup,'

Wartawan NST, Olivia Miwil memenangi dua merit masing-masing bagi kategori Laporan Sukan yang bertajuk '#JOM! Go: Mari menyelam' serta kategori Laporan Perniagaan dan Ekonomi dengan laporan 'Pekebun Kota Belud jadikan penanaman kopi untuk keluar daripada kemiskinan'.

Bagi kategori merit Anugerah Kewartawanan (rencana dan bukan rencana) dalam bahasa Inggeris dimenangi wartawan sambilan NST, Paul Mu.

Seorang lagi wartawan sambilan NSTP, Recqueal Raimi memenangi merit bagi kategori Laporan Sukan yang bertajuk 'Bakat luar biasa Isabelle' dan memenangi merit bagi Anugerah Gambar Terbaik.

Wartawan Media Prima (TV3), Safwan Sawi dan Mohd Fairuz Yazzer memenangi dua anugerah utama bagi kategori Laporan Hiburan, Budaya dan Seni (penyiaran) dengan laporan bersiri bertajuk 'Bahasa Etnik Sabah' dan kategori Laporan Alam Sekitar yang bertajuk 'Pusat Pemuliharaan Penyu Lima Terbaik Dunia'.

Selain itu, TV3 turut memenangi merit bagi Kategori Laporan Perniagaan dan Ekonomi (penyiaran) bertajuk 'OKU cekal hasilkan perabot setaraf pasaran luar'.

Sementara, jurugambar NSTP, Mohd Adam Arinin memenangi hadiah utama Anugerah Gambar Terbaik dengan gambar bertajuk 'padam api dalam rumah berapi'.

Anugerah disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai serta Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 11:54 PM