Pelakon tambahan membuat aduan kepada Mohd Hafiz. FOTO IHSAN SENIMAN
Pelakon tambahan membuat aduan kepada Mohd Hafiz. FOTO IHSAN SENIMAN
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PERSATUAN Seniman Malaysia (SENIMAN) akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk mengadakan operasi di set penggambaran bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kalangan artis.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, berkata gejala penagihan dadah di kalangan artis dianggap sudah sampai ke tahap kemuncak justeru langkah drastik perlu diambil bagi membersihkan imej golongan anak seni.

"Kita tidak mahu orang ramai terus memandang serong terhadap golongan artis termasuk pelakon disebabkan ada antara mereka terbabit dalam aktiviti haram itu.

"SENIMAN akan mengambil langkah proaktif membanteras aktiviti penyalahgunaan di kalangan artis habis-habisan.

"Kita akan bekerjasama dengan AADK, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan beberapa persatuan lain untuk menjalankan operasi di set penggambaran. Ia bukan untuk memalukan tetapi menyelamatkan mereka," katanya kepada NSTP hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abdul Halim di Kajang, Selangor, semalam, untuk berbincang lanjut mengenai kerjasama berkaitan usaha berkenaan.

Jelasnya, antara perkara dipersetujui dalam pertemuan itu ialah melantik penasihat AADK bagi memberikan pandangan berkaitan isu dadah dalam industri seni, serbuan di set penggambaran serta pemulihan, pencegahan, rawatan dan kajian lanjut.

Katanya, SENIMAN juga akan menganjurkan forum Pelan Transformasi Nasional (TN50) dan menjemput semua artis untuk berbincang dan memberi pendapat dalam meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan golongan artis sifar dadah menjelang 2023 dan berharap semua pihak menggalas tanggungjawab itu bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 7:42 PM