ANGGOTA AADK membawa suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Ops Cegah, di Sandakan. FOTO Ihsan AADK
ANGGOTA AADK membawa suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Ops Cegah, di Sandakan. FOTO Ihsan AADK
Norasikin Daineh


BEKAS atlet yang pernah mewakili Sabah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2008 antara individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Cegah di Kampung Ketiau, Putatan, semalam.

Dalam operasi 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 31 tahun yang mewakili negeri dalam acara sukan lompat tinggi itu ditangkap anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas dipercayai terjebak dengan najis dadah sejak beberapa tahun lalu.

Menurut sumber, lelaki yang ditahan di kediamannya itu terkejut apabila diserbu sebelum cuba melarikan diri sejauh kira-kira 100 meter di kawasan berbukit dan sungai untuk menyembunyikan diri.

Tidak tahan bersembunyi di kawasan semak, lelaki itu akhirnya menyerahkan diri kepada anggota AADK 15 minit kemudian.

Sementara itu, dalam operasi sama, seorang lelaki yang dalam keadaan 'lalok' luka di kepala dan tangan ketika cuba melarikan diri selepas dikepung anggota AADK.

Dalam kejadian 10.30 malam, lelaki berusia 26 tahun bekerja sebagai mekanik itu ditahan selepas cuba melarikan diri sejauh 20 meter dari kawasan dia dikepung.

Sumber berkata, lelaki terbabit dipercayai baru sahaja mengambil dadah jenis syabu menyebabkan dia bertindak agresif melarikan diri bagi mengelak ditangkap.

Ketika dikejar anggota AADK, lelaki itu melarikan diri tanpa berselipar serta merempuh apa sahaja objek yang ada di hadapannya menyebabkan dia mengalami kecederaan sebelum berjaya ditahan.

Terdahulu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, seramai sembilan lelaki ditahan dalam Ops Cegah yang dilaksanakan AADK disekitar Kota Kinabalu.

"Operasi bermula 10 pagi hingga 10 malam itu menumpukan beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu termasuk Putatan, Kampung Sembulan, Kampung Rampayan, Manggatal dan Inanam.

"Seramai sembilan lelaki berusia 15 hingga 40 tahun ditahan mengikut sek 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 2:31 PM