PEMAIN Kuantan FA, Zarko Korac (kiri) dikawal ketat  pemain FELDA United, Curran Lawrance Singh Ferns pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak awal bulan lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN Kuantan FA, Zarko Korac (kiri) dikawal ketat pemain FELDA United, Curran Lawrance Singh Ferns pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak awal bulan lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Tiga pasukan iaitu FELDA United, Sarawak dan PDRM dilihat mengalami ‘kerugian besar’ selepas kemenangan yang diraih mereka ke atas pasukan Kuantan FA dalam aksi Liga Perdana sebelum ini tidak dikira.

Ia susulan keputusan Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengesahkan bahawa keputusan membabitkan tujuh perlawanan Kuantan FA dibatalkan selepas pasukan itu digugurkan daripada menyertai saingan musim ini.

Malah, tiga pasukan lain turut terkena tempias iaitu MIFA, UiTM FC dan Pulau Pinang yang bakal kehilangan satu mata selepas tiga pasukan itu seri ketika menentang skuad bimbingan Ismail Zakaria itu.

Namun, situasi berbeza dialami pendatang baru Liga Perdana, UKM FC yang mampu tersenyum lebar selepas kekalahan besar 4-0 kepada Kuantan FA sudah dikira ‘hangus’, sekali gus membantu memperbaiki kedudukan mereka dan perbezaan jaringan dalam liga.

Menerusi satu kenyataan MFL semalam, pembatalan perlawanan membabitkan Kuantan FA itu adalah bersifat menyeluruh dan tidak hanya sekadar penolakan daripada segi jumlah pungutan mata.

“Ini bermakna jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang sudah berlangsung membabitkan Kuantan FA tidak akan dikira.

“Jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan turut akan dikira sebagai kosong (0),” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, MFL menegaskan kesalahan Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP) dan perkara tatatertib tetap berkuat kuasa seperti biasa.

“Bagi kesalahan Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang / kad merah adalah dikekalkan dan berkuat kuasa seperti biasa.

“Pasukan Kuantan FA akan dikeluarkan daripada senarai jadual perlawanan dan kedudukan liga. Jadi hanya 11 pasukan saja yang bertanding sehingga penghujung musim 2018,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, gara-gara tidak turun beraksi menentang PDRM dalam aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam 15 April lalu, Kuantan FA terpaksa menerima padah apabila digugurkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2018 berkuat kuasa serta merta 20 April lalu.

Keputusan itu diumumkan oleh badan pengendali liga itu yang melihat tindakan kelab bermasalah itu tidak hadir pada perlawanan dan tidak memaklumkan kepada sekretariat MFL satu kesalahan yang berat dalam peraturan Liga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 3:35 AM