SEBAHAGIAN ahli kelab MBA meraikan kemenangan Chelsea. FOTO/FAIL
SEBAHAGIAN ahli kelab MBA meraikan kemenangan Chelsea. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan

 

SHAH ALAM: Bukan setakat di London, kejayaan Chelsea merangkul Piala FA dengan menundukkan Manchester United awal pagi tadi turut sama diraikan penyokong The Blues di negara ini.

Kira-kira 80 ahli kelab penyokong Chelsea, Malaysia Blues Army (MBA) sanggup bersengkang mata menyaksikan perlawanan penuh berprestij itu yang ditayangkan di skrin besar dekat Khulafa Bistro, Shah Alam.

Nyata ‘pengorbanan’ mereka menonton perlawanan yang berakhir kira kira jam 2.15 pagi itu berbaloi apabila skuad bimbingan Antonio Conte berjaya merangkul Piala FA sekali gus mengelak daripada pulang tangan kosong musim ini.

Ketua Unit Publisiti MBA, Dinie Haiqal Azhar menyifatkan kemenangan Piala FA itu sebagai pengubat duka terutamanya selepas pasukan itu sekadar menamatkan saingan liga di tangga kelima dan terlepas peluang ke Liga Juara Juara musim depan.

“Memang berdebar menantikan perlawanan tamat apatah lagi selepas United kerap mengasak Chelsea pada babak kedua dan sudah dibolosi namun mujurlah jaringan Alexis Sanchez tidak dikira.

“Apapun, kemenangan ini sudah tentu dapat menjadi pembakar semangat supaya kembali memberi saingan pada musim depan,” katanya.

Sebelum ini, MBA pernah terbabit dengan program siaran langsung skrin besar anjuran New Straits Times (NST) bagi aksi Piala FA bertemu Liverpool yang berlangsung di Kelana Jaya pada 2012.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Wembley, Chelsea menamatkan penantian enam tahun meraih Piala FA apabila menumbangkan Manchester United 1-0 hasil sepakan penalti disempurnakan pemain sayap, Eden Hazard.

Sementara itu, seorang ahli MBA, Mustaza Mustakim, 36, sanggup melupakan kesakitan patah bahu kanan demi menyaksikan perlawanan akhir itu bersama rakan yang lain.

“Menonton di rumah berseorangan sudah tentu membosankan, sebab itulah saya mengambil keputusan menyaksikan secara beramai ramai kerana ia lebih menyeronokkan.

“Apapun, kesakitan yang dirasai serta merta hilang apabila menyaksikan kemenangan dan Piala FA menjadi milik pasukan kesayangan saya,” katanya.

Caption

Mustaza (baju putih) turut sama meraikan kejayaan Chelsea merangkul Piala FA bersama Malaysia Blues Army (MBA) di Khulafa Bistro, Shah Alam, awal pagi tadi.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 8:17 AM