ANGGOTA bomba bersama penduduk mencari seorang lagi anak mangsa yang masih hilang Wan Ukkasyah (gambar kanan). Manakala jenazah Wan Halem (kiri) dan Wan Muhammad Muzzammil sudah dijumpai di Pantai Sri Telong, Melawi, Bachok, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA bomba bersama penduduk mencari seorang lagi anak mangsa yang masih hilang Wan Ukkasyah (gambar kanan). Manakala jenazah Wan Halem (kiri) dan Wan Muhammad Muzzammil sudah dijumpai di Pantai Sri Telong, Melawi, Bachok, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


“MEREKA sekeluarga nampak seronok bercerita nak datang ke pantai bagi menghabiskan cuti sekolah, namun tak sangka ajal mereka di sini," kata Mohd Naim Ibrahim, 34, adik ipar kepada Wan Halem Wan Mustapha, 44, yang lemas bersama anaknya di Pantai Sri Telong, Melawi, Bachok, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, Wan Halem dan anak lelakinya, Wan Muhammad Muzzammil Wan Halem, 7, tahun ditemui orang awam manakala seorang lagi mangsa, Wan Ukkasyah Wan Halem, 12, dilaporkan masih hilang.

Mohd Naim berkata, kali terakhir dia berjumpa ahli keluarga mangsa semalam, apabila mereka berkumpul di rumah keluarga di Kampung Paloh, Palekbang, Tumpat.

"Ketika itu tiada sebarang perubahan pada abang ipar dan anak saudara, malah isteri arwah yang juga kakak saya, Hamidah Ibrahim, 40, sempat menyediakan nasi Arab untuk dimakan hampir 20 ahli keluarga yang datang berkumpul.

"Ketika berkumpul, arwah ada beritahu nak bawa anak ke pantai esok sempena cuti sekolah, namun kami terkejut apabila hari ini mendapat panggilan mereka lemas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Naim berkata, arwah dan anaknya memang rapat dengan ahli keluarga selain arwah turut mengajar al-Quran di Kampung Bunut Payong, berdekatan rumahnya.

"Anak arwah rapat dengan saya dan saya berharap pencarian anak sulung mangsa yang masih hilang dipermudahkan.

“Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paloh, esok,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, keluarga mangsa dipercayai ke pantai itu seramai lapan ahli keluarga membabitkan suami isteri dan enam anak.

Katanya, ketika mandi anak kedua mangsa ,Wan Muhammad Umair,11 dipercayai lemas.

"Mangsa dan dua anaknya cuba menyelamatkan Umair dan berjaya menolaknya ke tempat cetek sebelum ketiga-tiga mangsa dibawa arus dan lemas.

“Dua mayat mangsa ditemui orang awam manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian diteruskan pagi esok.

"Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZll) Kota Bharu untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:07 PM