Nor Amalina Alias


Bachok: Suasana sedih menyelubungi kediaman keluarga kanak-kanak lemas di Pantai Kemayang, di sini, apabila guru Muhammad Hanif Nurhaqim, 11 menyerahkan semula wang bayaran makan malam yang sepatutnya dihadiri mangsa, 20 Januari ini.

Ibu mangsa, Norizan Said, 50 berkata, arwah anaknya membuat bayaran itu Khamis lalu untuk menghadiri majlis makan malam pengawas perpustakaan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan.

Katanya, anaknya juga ada membuat permintaan mahu memakai baju dan topi berwarna putih dan berseluar hitam pada majlis itu.

"Saya tak sangka, hari ini anak memang pakai semua serba putih, dia beriya-iya mahu hadir ke majlis itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Belanga, di sini, hari ini.

Norizan berkata, semalam suami, Amran Hassan, 54 membawa dua anak mereka iaitu Nurhaqim dan abangnya, Muhammad Hanif Lokman, 12 ke Pantai Kemayang pada jam 5 petang.

Katanya, sebelum ini, mereka sering mengajak bapanya ke pantai namun tidak dibawa kerana bimbang keadaan cuaca Monsun Timur Laut (MTL).

"Tapi semalam, ayahnya tak sampai hati apabila mereka menunggu di depan pintu rumah dan akhirnya setuju membawa mereka ke pantai.

"Tak lama selepas itu, suami telefon beritahu dua anak lemas dengan Nurhaqim masih hilang," katanya.

Norizan berkata, dia bergegas ke pantai itu yang terletak di 15 kilometer dari rumahnya.

Katanya, dia yang masih tidak sihat kerana penyakit kencing manis dan saraf menggagahkan diri memanjat benteng batu untuk turut sama mencari anak bongsunya.

"Suami beritahu dia sempat melihat anak kedua mereka memegang tangan adiknya sebelum adiknya hilang, sebelum dia diselamatkan orang awam," katanya.

Norizan memberitahu anaknya yang selamat kini mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

NORIZAN menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Hanif Nurhaqim. FOTO Nor Amalina Alias
NORIZAN menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Hanif Nurhaqim. FOTO Nor Amalina Alias

"Anak cuba tidak menitiskan air mata ketika melihat jenazah adiknya dan memberitahu adik sudah pergi ke syurga," katanya.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Belangga, jam 10 pagi tadi.

Terdahulu Norizan turut menerima kunjungan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok dan Kota Bharu diwakili Ketua Balai Polis Tawang, Sarjan Mejar Azhar Mohd Noor dan Ketua Balai Polis Binjai, Sarjan Mejar Harun Ahmad serta anggota Unit Psikologi Kaunseling Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Semalam, kanak-kanak itu ditemukan lemas selepas dia dan abangnya mandi di pantai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 3:32 PM