WAN Muhammad Afif lemas ketika mandi bersama lima rakannya di Pantai Damat, Bachok.  FOTO Nor Amalina Alias
WAN Muhammad Afif lemas ketika mandi bersama lima rakannya di Pantai Damat, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Tanpa memikirkan keselamatan diri, seorang wanita nekad terjun ke laut bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Damat, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kanak-kanak itu, Wan Muhammad Afif Danial Wan Mohd Nasir, 11, bagaimanapun meninggal dunia beberapa minit selepas dibawa ke daratan.

Asimah Abdul Manaf, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang berada di rumah nenek suaminya, berhampiran pantai sebelum didatangi seorang wanita yang menjerit meminta tolong bagi menyelamatkan kanak-kanak lemas.

"Tanpa berfikir panjang, saya bersama abang ipar, Mohd Azizul Zawawi, 40, terus terjun ke laut bagi mengambil kanak-kanak itu yang tengah ditarik seorang lagi kanak-kanak lain.

"Saya hanya fikir kalau itu anak saya, jadi saya pegang bahagian kaki dan abang ipar angkat badannya dan bawa mangsa ke daratan kira-kira 100 meter dari tempat dia lemas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Asimah berkata, sebaik dibawa ke darat, mangsa masih bernafas namun mengalami muntah yang teruk dan tidak sedarkan diri.

Katanya, tidak lama kemudian, seorang penduduk kampung memaklumkan nadi mangsa sudah berhenti.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Nik Mat Ariffin Samah, 54 berkata, dia mengetahui kejadian ketika sedang bekerja di Pengkalan Chepa.

Katanya, dua anaknya, Nik Muhammad Ridzuan, 13, dan Nik Muhammad Rizman, 9 bersama tiga lagi rakan ke pantai berkenaan tanpa pengetahuan keluarga.

Katanya, menurut salah seorang anaknya, mereka berenam mandi di pantai berkenaan sebelum kejadian lemas berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin yang turut hadir ke lokasi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke pantai untuk tidak melakukan aktiviti mandi manda kerana ombak sangat bergelora ketika ini mendatangkan bahaya.

"Kita akan bincang dengan Ketua Jajahan Bachok bagi menaikkan tanda larangan mandi," katanya.

Mohd Ismail berkata, pihak polis melakukan rondaan di sepanjang pantai Bachok dengan semalam rondaan dilakukan di Pantai Melawi dan Pantai D'Aur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 9:54 PM