PAPARAN laporan semalam.
PAPARAN laporan semalam.
Muhamaad Razis Ismail


Bachok: Jasad kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang lemas di Pantai Kemayang, Tawang, di sini, kira-kira 5 petang semalam, ditemui awal pagi ini.

Pegawai Operasi Ahmad Mazdan Jusoh dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok berkata, jasad Wan Nurul Huda Wan Mohd Long, ditemui, pada 4.35 pagi ini.

Katanya, jasad itu ditemui anggota Angkatan Pertahanan Awam ( APM) tersangkut di jaring kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Penemuan mayat itu susulan operasi yang diteruskan oleh pasukan penyelamat membabitkan pelbagai pihak termasuk bomba, APM, dan polis di kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah BachokDeputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat.

Portal berita Harian Metro, semalam, melaporkan pengorbanan bapa berjaya menyelamatkan tiga anaknya daripada lemas.

Bagaimanapun, dia sendiri akhirnya lemas dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam.

Dalam kejadian itu, Allahyarham Mohd Shamsure Mat, 37, ditemui orang ramai pada 5.25 petang, manakala anak saudaranya, Nurul Huda, ketika itu masih hilang.

Tiga anak arwah Mohd Shamsure, Nur Shahira, 11,Nurshafiqha, 9, dan Mohamad Adam Daniel, 7, diselamatkan mangsa sebelum dia lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 12:48 PM