KILAFAIRY tak cepat melatah kritikan netizen terhadap Put the Word In.
KILAFAIRY tak cepat melatah kritikan netizen terhadap Put the Word In.
Ramlah Zainal


Namanya semakin melonjak naik dalam bidang nyanyian selepas kemunculan lagu dan muzik video terbaru berjudul Put The Word In.

Sejak dimuat naik di YouTube pada 16 Februari lalu, muzik video duet Kilafairy bersama DJ Aku Ash serta rapper antarabangsa, Sean Kingston itu sudah mencecah hampir 1 juta tontonan.

Kilafairy, 26, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana ramai rakan dan peminat menyukai lagu dan muzik video itu.

“Ia cukup bermakna buat saya apabila menerima maklum balas positif daripada ramai orang pada lagu dan video muzik itu.

“Sebab itu saya tidak cepat melatah dengan apa saja kritikan daripada netizen kerana yang penting, saya ingin sama-sama memartabatkan bidang muzik tanah air,” katanya.

Kilafairy juga menaruh harapan single kelimanya itu menjadi penanda aras untuk menempa nama ke peringkat antarabangsa. Ia turut dirakam dalam dua versi iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Saya juga difahamkan, jika lagu Put The Word In dicalonkan atau menang dalam mana-mana anugerah atau acara besar, Sean akan turun padang untuk mempromosikan single ini,” katanya.

Klip video itu turut menampilkan selebriti tempatan iaitu Izara Aishah,Joe Flizzow, Altimet, Idris Khan dan Kaka Azraff.

Sebelum ini, Kilafairy pernah terbabit dengan projek khas menyanyikan lagu runut bunyi filem popular antarabangsa, Dilwale, versi Melayu berjudul Warna Cinta.

Dalam perkembangan lain, kata Kilafairy, dia juga akan muncul dengan single solo terbarunya selepas raya nanti.

Watak pesakit kanser

Selain menyanyi, Kilafairy juga menceburi bidang lakonan sejak dulu.

Terbaru, pelakon filem Karak ini berlakon dalam drama bersiri 24 episod berjudul Nafas untuk saluran ntv7 bermula 24 Mei nanti.

Dalam drama bersiri itu, Kilafairy bergandingan dengan Erwin Dawson selaku teraju utamanya.

Drama itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Christina Suzanne, Thanuja Ananthan, Gambit Saifullah, Hefny Sahad dan Fahad Iman.

“Saya terima tawaran untuk berlakon cerita ini kerana tertarik dengan watak Khadijah, pesakit kanser tahap tiga.

“Apa yang menarik, walaupun pesakit kanser, Khadijah tetap bangkit dan menghabiskan sisa hidup dengan menyempurnakan apa yang diingininya.

“Kehadiran Amar yang juga pesakit kanser menguatkan lagi semangat Khadijah,” katanya.

Kilafairy turut berdepan cabaran untuk menjiwai watak Khadijah itu.

“Maklumlah, saya tidak merokok dan perlu belajar menjadi perokok pula dalam cerita ini kerana Khadijah adalah pesakit kanser paru-paru.

“Saya dan Erwin sudah berusaha berikan yang terbaik dalam cerita ini dan kami juga serahkan kepada penonton untuk menilainya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:31 AM