Kilafairy dan Sa’aid belum ada perancangan mahu berkahwin.
Kilafairy dan Sa’aid belum ada perancangan mahu berkahwin.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Kilafairy, 29, menafikan dia ada mengeluarkan kenyataan akan berkahwin dengan teman lelakinya, Sa'aid Umar Aiman dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu mengakui mereka masih menjalin hubungan yang serius.

Dia sebelum ini juga turut menafikan sudah dilamar Sa'aid yang dikenalinya sejak berusia 13 tahun itu.

Kilafairy berkata, cincin yang dipakainya memang pemberian Sa'aid tetapi ia hanya sekadar suka-suka saja.

Dalam pada itu, Kilafairy mengakui bersikap lebih memilih watak selepas mengambil pendekatan untuk menutup aurat dan bertudung.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir berkata, dia juga bersyukur pengarah dan pihak produksi memahami batas dirinya sebagai sebagai wanita bertudung.

"Saya mula bersikap lebih memilih menerima tawaran untuk berlakon setelah mula bertudung. Kalau boleh watak yang diterima itu biarlah bersesuaian dengan imej saya dan tidak melanggar batas.

"Malah, apabila menerima tawaran untuk berlakon untuk karya ini, saya sendiri tidak tahu mempunyai lima orang abang. Mula terlintas di fikiran, bagaimana hendak berlakon kerana semestinya perlu bersentuhan kerana adik-beradik.

"Namun, saya bersyukur kerana mereka menghormati batas saya sebagai wanita bertudung dan mengubah adegan dan babak mengikut kesesuaian," katanya mengenai penampilannya itu ketika majlis sidang media drama bersiri Tumpang Lalu Bang, hari ini yang akan bersiaran menerusi slot Diandra setiap Isnin hingga Khamis jam 8.30 malam bermula 2 Februari ini.

Drama bersiri 28 episod itu diterbitkan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd dan diarah Eon Shuhaimi.

Selain Kilafairy, ia turut menampilkan pelakon seperti Tomok, Ziana Zain, Raja Afiq, Aidil Aziz, Black, Qi Razali dan ramai lagi.

Mengulas mengenai wataknya Sofiah, Kila adalah adik perempuan yang manja dengan abang-abangnya.

Malah, sejak kecil lagi dia dilatih untuk tidak mudah mempercayai lelaki.

"Kehadiran seorang lelaki membuka hati Sofiah untuk menerimanya hanya dengan pandang pertama. Ini kerana sejak kecil lagi dia sudah dilatih untuk tidak mudah menerima kehadiran lelaki hasil didikan abang-abangnya.

"Bukan saja dilindungi oleh lima orang abang, watak Sofiah turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu lakonan Ziana Zain yang sangat mengawal ketat demi keselamatan anak perempuannya.
"Memang meriah dan setiap babak juga seperti kejutan kerana tidak seperti berlakon. Serasi betul gandingan saya bersama kak Ziana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 2:21 PM