JUWITA Balqis menunjukkan kemahiran bermain dengan ular di Ekspo Orkid dan Flora di pekan Baling. FOTO BERNAMA
JUWITA Balqis menunjukkan kemahiran bermain dengan ular di Ekspo Orkid dan Flora di pekan Baling. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Baling: Menyentuh dan bermain dengan ular bukan mampu dilakukan semua orang namun bagi seorang wanita kategori orang kurang upaya (OKU), bermain dengan reptilia itu rutin hariannya.

Juwita Balqis Shamsudin, 35, dari Kampung Padang Temesu, Sungai Petani, sedikit pun tidak kekok dibelit dan diulit anaconda berusia dua tahun seberat lebih 40 kilogram dan ular sawa albino berusia empat tahun seberat hampir 30 kilogram yang dibeli dari Brazil.

Malah, keberanian wanita yang tidak dapat bertutur dan mendengar itu membawanya ke seluruh negara untuk mempamerkan kemahiran bermain dengan ular.

Ketika ditemui di Ekspo Orkid dan Flora di pekan Baling di sini, Juwita turut melayan penonton termasuk kanak-kanak yang mahu bergambar kenangan dengannya bersama ular berkenaan.

Menurut bapanya, Shamsudin Kadir, 68, Juwita mula berjinak dengan pelbagai jenis ular sejak berusia 25 tahun.

​​​​​​​“Mulanya saya hanya menyimpan ular sawa seberat lima kilogram yang ditangkap penduduk dan ketika itu Juwita menunjukkan keberanian dan minat mahu bermain dengan ular. Selepas melihat kecenderungannya, saya membeli anaconda dan albino dari Brazil,” katanya.

Katanya beliau turut memelihara enam ular termasuk tedung selar, ular punti dan ular sawa serta Iguana seberat 10 kilogram.

Menurut Shamsudin, dia dan isterinya Marian Ahmad, 60, mengusahakan perniagaan pelbagai jenis orkid, pokok buah-buahan dan ikan hiasan di seluruh negara sejak 10 tahun lalu.

“Ketika menjalankan perniagaan, Juwita yang dibantu dua lagi kakaknya mengadakan persembahan bermain ular untuk menarik pelanggan ke gerai kami.

“Orang ramai yang berkunjung kalau tidak membeli, mereka menghulurkan sumbangan untuk Juwita bagi persembahannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 5:41 AM