Fahmy A Rosli

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan Undang-Undang Syariah tidak dilakukan secara tergopoh-gopoh.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan proses pindaan itu dilakukan dengan teliti mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, termasuk pakar undang-undang antarabangsa.

Untuk itu, beliau sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar untuk menyelaras usaha itu.

"Kita mahu supaya diteliti betul-betul kerana di sebalik sahaja dibentangkan, ia menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua negeri, mufti dan ulama.

"Malah saya sudah minta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Dr Na'im untuk cuba menyelaraskan dan minta pandangan pakar perundangan, kerana harus dijadikan dokumen penting yang boleh ditelaah oleh pakar antarabangsa.

"Ini bukan satu dalil untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha lalu, malah kita memang memanfaatkan tetapi memang ada kelemahan besar dalam peruntukan.

"Jadi bukan sahaja dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tapi harus rujuk pakar antarabangsa. Kefahaman itu perlu menyeluruh.

"Bahkan perbincangan juga harus membabitkan bukan sahaja Mahkamah Syariah tetapi juga bukan Mahkamah Sivil, pakar perundangan, hakim terutama Ketua Hakim Negara serta hakim kanan dalam Mahkamah Sivil supaya kefahaman itu lebih," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

ANWAR ketika merasmikan  Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di  Putrajaya. Turut kelihatan Mohd Na'im  (kanan) dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR ketika merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah di Putrajaya. Turut kelihatan Mohd Na'im (kanan) dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Mengenai perkembangan pindaan peruntukan itu, Perdana Menteri berkata beliau baru mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), minggu lalu.

Sebelum ini, Anwar turut mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI bagi meneruskan perbincangan mengenai pindaan terkait Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

"Pada minggu lalu saya dengan Pengerusi baharu MKI, Sultan Nazrin. Kedua-dua setuju dengan kerangka awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pakar dan disampaikan kepada Dr Na'im.

"Saya mengucapkan terima kepada Dr Na'im yang nampaknya menyegerakan proses ini dan Sultan Nazrin menyatakan kesediaan baginda untuk berbincang dalam mesyuarat (MKI) Ogos ini.

"Maknanya ada perubahan, kesediaan dan saya harap dari semua negeri, semua dalam kalangan melihat ini secara positif.

"Insya-Allah Ogos ini, kita bentangkan. Namun berdasarkan perbincangan saya dengan Sultan Nazrin, sebaiknya diangkat kepada pihak antarabangsa, rujuk semula sebelum dirujuk kepada AGC.

"Kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam dan adat mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:32 PM