SUPRAMANY dan Muhammad Amir Rashid dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
SUPRAMANY dan Muhammad Amir Rashid dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Dua sahabat dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini, atas pertuduhan gagal memberi penjelasan atas pemilikan buah kelapa disyaki dicuri.

Tertuduh, V Supramany, 50, dan Muhammad Amir Rashid Masri, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan pertuduhan, dua lelaki itu didakwa secara bersama miliki dua karung guni berisi 40 biji buah kelapa, yang mana mereka tidak dapat memberi penjelasan dengan memuaskan bagaimana mendapatkan harta terbabit yang disyaki peroleh secara curang.

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa Alpha Bernam di Hutan Melintang, dalam daerah Bagan Datuk pada jam 8 malam, 12 Julai lalu.

Oleh yang demikian, mereka dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Faustina merayu mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap anak guamnya memandangkan Supramany yang menganggur dan Muhammad Amir Rashid yang bekerja sendiri perlu menanggung ibu bapa masing-masing, selain pengakuan mereka menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetap hukuman penjara 14 hari ke atas tertuduh bermula tarikh tangkapan iaitu 12 Julai.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y100 ditahan pengawal keselamatan di tepi jalan di ladang terbabit.

Hasil pemeriksaan menemui dua guni berisi 40 biji kelapa yang disyaki dicuri sebelum pengadu membuat laporan polis.

Tangkapan dibuat selepas tertuduh gagal memberikan penjelasan yang munasabah berkaitan pemilikan barang itu yang disyaki dicuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:23 PM