Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Selepas setahun disatukan, pasangan pengantin Hippo atau badak air Afrika popular, Jiwang dan Juwita akhirnya melahirkan anak comel yang dinamakan Jaguh.

Jaguh dilahirkan 12 Jun lalu dan kini sudah berusia dua bulan dengan berat kira-kira 50 kilogram.

Bagi meraikan anak pasangan badak air itu Majlis Berendoi diadakan di di Hippo Kingdom, Taman Tema aAir Lost World of Tambun (LWOT) di sini, hari ini.

Juwita yang masih dalam keadaan masih 'berpantang' hanya muncul bersama anaknya sementara pasangannya Jiwang terpaksa dipisahkan buat sementara waktu.

Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, majlis berendoi itu adalah kesinambungan daripada majlis perkahwinan yang diadakan April tahun lalu.

"Bagi menamakannya anak badak ini kami mengadakan pertandingan dan menerima hampir 1,000 penyertaan. "Akhirnya kami memilih nama Jaguh yang bermaksud juara. Jaguh mula bangun dan berjalan beberapa jam selepas kelahirannya, jadi nama itu sesuai memandangkan perwatakannya yang kuat mungkin diperoleh daripada Jiwang," katanya pada sidang media sempena Majlis Berendoi anak Hippo Jiwang dan Juwita di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengarah PERHILITAN Negeri Perak, Yusoff Shariff.

Menurutnya, segala penjagaan dan suasana bagi untuk pasangan itu dijaga rapi mengikut yang ditetapkan PERHILITAN sebelum berjaya kelahiran anak sulung pasangan badak air itu.

"Ia mengambil masa kira-kira 13 bulan untuk dapat melahirkan anak berkenaan.

"Tidak mudah sebenarnya untuk memastikan semua perkara, ini bermaksud tempat kena sesuai, jagaan rapi dan makanan mesti baik dan mencukupi untuk memastikan anak Hippo itu akhirnya berjaya dilahirkan," katanya

April lalu, media melaporkan, Dilayan persis 'raja sehari', pasangan bahagia Juwita dan Jiwang menjadi pengantin Hippo atau badak air pertama di negara ini diraikan dalam suasana majlis kenduri kahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 5:01 PM