APM menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM
APM menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


Baling: Seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dan seberat 80 kilogram ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika reptilia itu sedang menelan anjing liar berhampiran paya di Kampung Wad Siam, Kuala Pegang, di sini, malam tadi.

Kejadian jam 10 malam itu, disedari penduduk Manot Chamren, 29, yang kebetulan melalui kawasan itu terdengar bunyi anjing menyalak sebelum mendapati seekor ular sawa membelit dan cuba menelannya.

Manot kemudian terus menghubungi talian kecemasan 999 dan melaporkan kejadian itu sebelum pihak APM terus ke lokasi kejadian.

Pegawai APM Daerah Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mereka tiba di lokasi kejadian 30 minit kemudian dan menemui ular itu di kawasan paya kira-kira tiga meter dari jalan di kampung terbabit.

"Seramai lima anggota APM mengambil masa 30 minit untuk membawa naik ular ke darat kerana keadaan cuaca gelap, berpaya dan semak.

"Ular sawa itu yang ditangkap akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 4:54 PM