AB Rauf (kiri) ketika di karnival Perkeso. FOTO Nazri Abu Bakar
AB Rauf (kiri) ketika di karnival Perkeso. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka agresif menerajui pemindahan teknologi Jerman yang akan direalisasikan menerusi pembangunan 'German Technology Park' (GTP) dan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kewujudan GTP dan pusat kecemerlangan tinggi itu, bakal meletakkan Melaka sebagai pusat pemindahan teknologi bagi Jerman di rantau Asia Tenggara.

"Usaha itu membolehkan syarikat dari Jerman melatih dan membimbing selain mempertingkat kualiti kerja terlatih di kawasan teknologi dan pusat kecemerlangan yang disediakan kepada syarikat-syarikat dari negara yang berhasrat melabur di Asia Tenggara.

"GTP bakal menjadi pusat kecemerlangan tinggi pertama yang diwujudkan untuk semua pelabur Jerman yang melabur ke Asia Tenggara sekali gus menjadikan Melaka sebagai pusat pemindahan teknologi dalam pelaburan negara berteknologi berkaitan," katanya pada perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs Melaka Careertrans 2024, anjuran Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama dua hari, berakhir semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sehubungan itu, Rauf turut mencadangkan supaya Perkeso bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi memikirkan hala tuju baharu dalam bidang kerjaya TVET yang boleh direalisasikan di GTP.

Ab Rauf berkata, pecah tanah GTP akan diadakan pada Oktober ini di kawasan seluas 138.07 hektar di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh.

GTP di Melaka juga bakal membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 10,000 penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:32 PM