LELAKI yang ditahan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar anggota polis trafik yang sedang bertugas, semalam direman. FOTO Izz Laily Hussein
LELAKI yang ditahan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar anggota polis trafik yang sedang bertugas, semalam direman. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Lelaki yang ditahan selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar anggota polis trafik sedang bertugas, semalam direman empat hari.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarkan permohonan reman polis bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek berusia 30-an itu bermula hari ini hingga Khamis ini.

Suspek yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan tangan bergari itu disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Semalam, media melaporkan seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini.

Dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berusia 30-an itu sedang mengawal aliran trafik selepas berlaku satu kemalangan di lokasi terbabit.

Kemalangan berlaku ketika mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.

Ketika proses penundaan dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna Perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda.

Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.

Mangsa patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan, manakala pemandu kereta berkenaan luka pada tangan sebelah kiri.

Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta itu positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:23 PM