Pegawai dan anggota APM menunjukkan dua ekor ular sawa yang berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM
Pegawai dan anggota APM menunjukkan dua ekor ular sawa yang berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


DUA ekor ular sawa batik seberat 50 kilogram dan panjang empat meter ditangkap selepas menelan ayam kampung penduduk di Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, di sini, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Mohd Faizol Ab Aziz, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.36  pagi dan sampai di lokasi 15 minit kemudian.

Beliau berkata, lima anggota ke lokasi dan menemui ular sawa itu di dalam reban belakang rumah sedang menelan ayam.

"Anggota mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular berkenaan yang bertindak agresif.

"Beberapa ekor ayam ditelan ular sawa itu dipercayai memasuki reban malam tadi," katanya.

Katanya, ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 2:40 PM