KAKITANGAN Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memungut bangkai ikan dalam tasik Taman Bandar Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memungut bangkai ikan dalam tasik Taman Bandar Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Lebih 500 kilogram (kg) bangkai ikan lampam dan tilapia yang mati dalam tasik Taman Bandar Indera Mahkota di sini, sudah dikutip sejak seminggu lalu.

Tugas berkenaan dilakukan dua kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang memungut bangkai ikan menggunakan sauk dengan menaiki bot gentian kaca.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Norkamawati Kamal berkata, kerja memungut bangkai ikan lampam dan tilapia perlu dilakukan bagi kawasan tasik tidak berbau busuk.

Menurutnya, kerja pelupusan ikan dilakukan dua hari sekali bergantung pada jumlah ikan mati, sekiranya jumlah ikan mati terlalu banyak kerja memungut dilakukan setiap hari bermula jam 10 pagi.

"Ini kali kedua kes ikan mati dengan jumlah yang banyak dalam tempoh yang panjang, sebelum ini kes sama berlaku tetapi hanya berlaku selama dua hari sahaja.

"Kali ini sudah lebih seminggu ikan mati secara berterusan. Sejak kes kematian ikan berlaku di tasik Taman Bandar minggu lalu, rata-rata pengunjung terkilan dengan apa yang berlaku dan berharap pihak berwajib mencari kaedah terbaik memastikan kejadian sama tidak terus berulang.

"Ikan yang banyak mati turut menyebabkan kawasan tasik berbau bangkai ikan hingga mengganggu aktiviti pengunjung," katanya di sini, hari ini.

Norkamawati berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendakwa ujian dilakukan mendapati kadar oksigen terlarut adalah di bawah 1.0 mg/L dan rendah berbanding julat normal bagi kehidupan akuatik iaitu 4.0 - 6.0 mg/L.

Menurutnya, kadar oksigen terlarut yang rendah dipercayai faktor utama menyebabkan kematian ikan.

Tinjauan di lokasi mendapati spesies ikan mati yang timbul di permukaan air dan terdampar di tepi tasik ialah lampam, tilapia, keli dan patin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:48 PM