Alias Abd Rani

Muar: "Saya memang zalim." Itu pengakuan lelaki warga emas sebelum Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap cucu kandungnya sejak tahun lalu.

Tertuduh berusia 72 tahun membuat pengakuan itu ketika Hakim Abu Bakar Manat bertanyakan kenapa dia tergamak memperlakukan perbuatan itu terhadap cucunya yang dijaga sejak kecil selepas ibu bapa mereka bercerai.

Semasa prosiding itu, Abu Bakar menegur tindakan tertuduh yang tidak sepadan dengan usianya dengan melakukan perbuatan tidak sepatutnya terhadap insan yang masih bergelar kanak-kanak dan juga darah dagingnya.

"Sanggup kamu buat macam ini pada cucu sendiri, kalau tengok pada usia, kamu bukan muda lagi. Kalau kamu sayang, kamu tak buat benda macam ini, kita dah dewasa, tengok muka dia pun tak sanggup (nak buat benda ini).

"Dia tinggal dengan kamu seperti anak kandung, kamu sepatutnya jaga dia," katanya sebelum menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, tertuduh yang juga peneroka tanah rancangan berhadapan dua pertuduhan, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih mempunyai isteri didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuan berusia 10 tahun dalam bilik sebuah rumah di tanah rancangan, Kluang, 11 malam, tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa pada jam 9 malam, antara April hingga Mei tahun ini, dengan kejadian berlaku di tempat sama.

Untuk kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Hukuman bagi Seksyen 14 (a) ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 (1) yang juga tambahan hukuman, penjara tidak melebihi lima tahun dan juga sebatan tidak kurang dua kali bagi setiap pertuduhan.

WARGA emas dipenjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku cabul cucu kandung di Kluang. FOTO Alias Abd Rani
WARGA emas dipenjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku cabul cucu kandung di Kluang. FOTO Alias Abd Rani

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom yang memaklumkan seorang kanak-kanak dirogol.

Mangsa ketika itu mengalami kesakitan pada alat sulit sebelum menghubungi ibunya yang menetap di Johor Bahru bagi membantu menghantar ke hospital.

Mangsa tinggal bersama datuknya sejak berusia tiga tahun selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai.

Satu laporan polis dibuat pihak hospital pada 9 Jun dengan tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 (1), mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun serta dua sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan dengan kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan, 9 Jun lalu.

Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:46 PM