Aiman buat duit sepanjang 2017
Aiman buat duit sepanjang 2017
Sudirman Mohd Tahir


Baju sekolah jenama Sweet Aiman Junior milik penyanyi Aiman Tino yang dilancarkan sejak 22 November lalu laris dan dianggarkan berbaki 10 peratus daripada 16,000 yang dikeluarkan.

Daripada hasil penjualan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Aiman atau nama sebenarnya Mohd Aiman Yusri, 19, antara penyanyi remaja yang berjaya ‘buat duit’ sepanjang 2017 ini.

Itu belum lagi pendapatan daripada penjualan produk kecantikan Sweet Aiman yang dilancarkan pada Mac lalu selain tawaran mengadakan persembahan.

“Saya tak nak dianggap sebegitu. Cuma, apa saya buat ini biarlah menjadi contoh dan inspirasi kepada remaja lain. Sedikit sebanyak, pencapaian yang diraih ini menjadi pembakar semangat untuk mereka berjaya dalam apa jua bidang.

“Sekiranya semua baju habis terjual pun, saya tak makan seorang. Hasil penjualan dibahagikan kepada beberapa pihak seperti Mydin dan rakan kongsi perniagaan. Jadi, tak ada istilah saya jutawan,” katanya kepada Harian Metro.

Aiman yang popular menerusi lagu Ku Rela Dibenci berkata, dia tidak menjangka baju sekolah itu mendapat sambutan menggalakkan meski pada mulanya mendapat kritikan netizen.

Menurut Aiman, pihaknya merancang untuk melancarkan edisi kedua baju itu pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan. Malah, ada pusat beli belah Mydin habis jualan untuk baju ini. Memandangkan ia edisi terhad dan eksklusif, jadi pihak syarikat tidak mengeluarkannya lagi.

“Kalau ada pun, mungkin tahun depan pula. Namun, ia masih dalam proses perbincangan. Saya berterima kasih kepada semua yang sudah membeli baju ini,” katanya.

Baju seragam sekolah itu dijual dari harga RM21 sehingga RM35 mengikut saiz. Ia dijual di lapan cawangan Mydin terpilih seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 5:01 PM