Amirul Safwan. Gambar kiri busana dipakai Siti Nurhaliza pada Konsert Sebuah Epitome
Amirul Safwan. Gambar kiri busana dipakai Siti Nurhaliza pada Konsert Sebuah Epitome
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Teruja dan tidak terkata," kata pereka muda Amirul Safwan ketika diberi peluang menghasilkan busana tradisional penyanyi ternama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung baru-baru ini.

Amirul, 28, yang juga pengasas jenama Bianca Bella berkata, kepercayaan diberikan oleh Siti dan pasukannya itu adalah peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskan.

"Segalanya bermula ketika kami diberi kepercayaan menyiapkan baju TokTi (Siti Nurhaliza) pada persembahan sempena tahun baru dan melawat Melaka 2024 lalu, di situ detik perkenalan bermula.

"Bila mendapat peluang untuk menyediakan busana sempena konsert TokTi saya dan pasukan tahu ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

"Memang teruja pada masa sama gementar. Maklumlah kami masih setahun jagung tapi diberi kepercayaan oleh penyanyi hebat seperti TokTi," katanya.

Menurutnya, baju itu disiapkan dalam tempoh sebulan serta dibantu Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah.

Menurutnya lagi, warna dan material yang digunakan bagi busana itu adalah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Siti.

"Tujuh tahun pengalaman dalam bidang rekaan fesyen, saya tidak pernah terlintas akan menjahit dan mereka pakaian untuk TokTi. Ini semua rezeki sangat bermakna.

"Semua proses berjalan dengan lancar dan mudah. TokTi sangat profesional dan tahu apa yang diinginkan oleh dirinya.

"Bagi kami pastinya berusaha mahu memberikan yang terbaik, Alhamdulillah, dengan reaksi positif yang diterima lebih-lebih lagi untuk orang baru seperti kami," katanya.

Baju rekaannya dalam rona emas merah hati gelap, digayakan oleh Siti pada segmen Bayu Timur pada konsert yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Baju rekaannya itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang memilih ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi Kau Kekasihku itu.

Pada masa sama, Siti turut dipuji kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pereka muda untuk menyiapkan baju dalam konsert berskala besarnya.

Perkongsian Siti Nurhaliza pada hantaran di akaun Instagram miliknya mendapat lebih 40,000 tanda suka dengan lebih 400 komen.

Menurutnya, jenama yang diusahakan sejak dua tahun itu turut menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 12:19 PM