TATJANA perlu banyak membaca kerana Hulia digambarkan gadis mahir ilmu sejarah.
TATJANA perlu banyak membaca kerana Hulia digambarkan gadis mahir ilmu sejarah.
Syafil Syazwan Jefri


Filem Ayat Ayat Cinta (AAC) tentunya tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umum. Menjadi filem ikonik yang boleh dikatakan sempurna dari segi naratif, sinematografi dan karakter sehinggalah kejayaan lagu tema yang membuatkannya dekat di hati penonton.

Karya adaptasi novel tulisan Habiburrahman El Shirazy ini diteruskan dengan kehadiran Ayat Ayat Cinta 2 (AAC2) yang memaparkan jalan cerita dan karakter lebih ‘menyengat’ jiwa.

Antara menarik perhatian adalah karakter baru, Hulia lakonan bintang muda Tatjana Saphira.

Ketika ditemui di tayangan media dan Malam Gala AAC2 di Jakarta, Tatjana dengan mesra menghuraikan karakternya.

“Hulia sepupu kepada Aisha, isteri Fahri. Dia gadis periang dan berfikiran positif.

“Konflik mula timbul apabila dalam dia mencintai Fahri lakonan Fedi Nuril,” katanya.

Ditanya perasaannya apabila berpeluang membintangi filem hebat itu, Tatjana mengakui teruja dan sangat gembira.

“Bagi saya Ayat Ayat Cinta sebuah karya agung. Apabila dapat tawaran menjayakan sekuelnya, saya sangat teruja dan terus bersetuju.

“Peluang keemasan ini tidak mungkin saya lepaskan. Paling menarik perhatian saya adalah jalan ceritanya berteraskan agama selain dibarisi pelakon hebat,” katanya.

Tatjana turut menzahirkan dirinya bertuah kerana mendapat bimbingan Fedi sepanjang penggambaran.

“Ini adalah gandingan pertama saya dan Fedi. Dia pelakon yang bagus dan tidak lokek ilmu.

“Satu pengalaman menyeronokkan apabila bekerja dengannya,” katanya.

Menurut Tatjana, dia membaca beberapa bahagian dalam novel AAC bagi mengenali dan menyelami karakter Hulia.

“Saya menjadikan novel sebagai garis panduan dalam menjayakan karakter Hulia. Bagaimanapun, 90 peratus karakter dalam filem tidak sama dengan apa yang dipaparkan dalam novel.

“Dalam filem, Hulia lebih dramatik dan ‘ringan’. Satu lagi kelainan paling ketara adalah Hulia tidak berhijab di layar lebar sedangkan dalam novel dia berhijab,” katanya.

Ditanya mengenai babak paling sukar buat pelakon yang pernah membintangi lapan filem ini, Tatjana memilih babak pertama.

“Babak pertama, saya muncul dalam dewan kuliah dan menyampuk ketika Fahri sedang memberikan kuliah kepada pelajarnya.

“Apa yang sukar adalah saya bukan begitu orangnya. Seperkara lagi, saya perlu banyak membaca kerana Hulia digambarkan sebagai gadis yang mahir ilmu sejarah,” katanya.

Intai peluang di Malaysia

Malaysia boleh dikatakan rumah kedua buat penggiat seni Indonesia. Populariti mereka bukan hanya di negara sendiri malah turut menular di negara ini.

Membintangi filem yang pernah menjadi fenomena tentunya secara tak langsung akan membawa nama barisan pelakon ke sini.

Bagi Tatjana, dia sendiri sudah bersedia mencipta nama di Malaysia.

“Kali terakhir saya ke Kuala Lumpur ketika berusia enam tahun. Kalau semuanya lancar, saya akan ke Malaysia tidak lama lagi bagi mempromosikan AAC2.

“Kalau ada peluang untuk mengembangkan nama di Malaysia, apa salahnya. Harapnya, ada perkara baik akan berlaku di tempat lain juga selain Indonesia,” katanya.

Menurut Tatjana, meskipun masih ‘hijau’ dalam dunia lakonan, dia ada peminat dari Malaysia.

“Saya sendiri tak sangka ada pengikut di media sosial berasal dari Malaysia. Mereka selalu memberikan komen membina dan bertanya bila akan ke Malaysia.

“Penerimaan baik mereka buat saya rasa lapang hati dan tidak sabar mencuba nasib di Malaysia,” katanya.

Di Indonesia, AAC2 akan ditayangkan pada 21 Disember ini manakala di Malaysia, ia akan menemui penonton Januari depan.

Selain Tatjana, AAC2 turut dibintangi Fedi Nuril, Chelsea Islan, Dewi Sandra, Nur Fazura dan Bront Palarae.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:16 AM