RAHIM (kiri) bersama Amirul menunjukkan Pari Harimau yang ditangkapnya di Pengkalan Nelayan Kuala Lukut. FOTO Mohd Khidir Zakaria
RAHIM (kiri) bersama Amirul menunjukkan Pari Harimau yang ditangkapnya di Pengkalan Nelayan Kuala Lukut. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


TUAH menyebelahi nelayan yang juga orang kurang upaya (OKU) apabila ikan pari harimau seberat 120 kilogram (kg) tersangkut pada jaring dipasangnya berhampiran Pengkalan Nelayan Kuala Lukut di Port Dickson, semalam.

Rahim Omar, 54 berkata, dia memasang jaring itu sejak malam kelmarin sebelum turun semula ke laut bersama menantunya, Amirul Arshidi Mohd Kasar, 25, pada 11 pagi.

"Sebaik tiba, saya dapati jaring itu sedikit tenggalam ke laut dan sudah menyangka mengena ikan yang banyak," katanya.

Menurutnya, sebaik mengangkatnya mereka mendapati jaring terlalu berat dan dikejutkan perolehan ikan pari seberat 120 kg.

"Saya dan Amirul berusaha membawa naik ke bot sebelum pulang ke pangkalan. Kerana ikan begitu berat, kami meminta rakan nelayan membantu," katanya.

Menurut Rahim, ikan itu dipotong dan berita itu dihebahkan kepada rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Tidak disangka, dalam beberapa jam penduduk datang membeli dengan harga RM20 sekilogram. Ikan ini habis dijual pada sebelah petang dan saya meraih jualan RM2,000," katanya.

Menurutnya, sepanjang 25 tahun bergelar nelayan, ia tangkapan tersebar yang pernah diperolehnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:30 PM