RAHIM (dua kiri) melihat penyu yang dirampas. FOTO Syafiq Ambak
RAHIM (dua kiri) melihat penyu yang dirampas. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 18 nelayan Vietnam dan merampas tiga bot serta pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai RM2 juta dalam tiga tangkapan berasingan di perairan Terengganu.

Selain itu, APMM turut merampas ikan yu seberat 40 kilogram (kg), penyu agar-agar seberat 50 kg dan pelbagai jenis ikan masing-masing dua dalam tangkapan pada Rabu lalu manakala satu lagi, hari ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan asing kira-kira 66 batu nautika dari Kuala Terengganu, 8.50 pagi Rabu.

Beliau berkata, terdapat lima nelayan Vietnam berusia antara 16 hingga 48 tahun dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Pemeriksaan lanjut menemui ikan yu seberat 40 kg dan 5,000 liter minyak diesel di dalam bot berkenaan.

"Dalam tangkapan kedua, kita menahan sebuah lagi bot pada 10.30 pagi bersama sembilan nelayan Vietnam kira-kira 63 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Hasil pemeriksaan mendapati lapan daripada sembilan nelayan gagal mempamerkan pasport yang sah dan kita turut menemui penyu agar-agar di dalam petak simpanan ikan dan pelbagai jenis ikan seberat 350 kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9), Kuala Terengganu, hari ini.

Rahim berkata, pihaknya turut menahan empat lagi nelayan Vietnam berusia 17 hingga 48 tahun kira-kira 44 batu nautika dari Timur Laut Kuala Terengganu.

Katanya, selain gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri, mereka turut menemui dua bidang pukat dan satu set tali tunda.

"Semua yang ditahan dibawa ke jeti APMM untuk siasatan lanjut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 6:44 PM