RAHIM (kanan) memeriksa nelayan asing yang ditangkap dalam operasi APMM di perairan Terengganu. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
RAHIM (kanan) memeriksa nelayan asing yang ditangkap dalam operasi APMM di perairan Terengganu. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
Zatul Iffah Zolkiply


Pix/video ROZAINAH ZAKARIA

CUBAAN dua bot nelayan Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Dalam tangkapan pada 2.30 petang dan 5.08 petang itu, APMM Daerah Maritim 9 (DM9) Kuala Terengganu turut menahan 20 nelayan berusia antara 22 hingga 51 tahun membabitkan nilai rampasan bernilai RM2 juta.

Pengarah Maritim DM9 Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, dua bot berkenaan masing-masing ditahan kapal maritim yang melakukan rondaan pada kedudukan 38 dan 44 batu nautika dari muara Kuala Terengganu ketika asyik menunda pukat.

“Pemeriksaan terhadap bot pertama menahan 12 nelayan Vietnam termasuk tekong berusia 35 tahun, manakala lapan lagi nelayan termasuk tekong berusia 46 tahun di dalam bot kedua.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai lesen serta permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara.

“Pemeriksaan juga mendapati hanya tiga daripada 20 nelayan yang ditahan mempunyai dokumen pengenalan diri manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen,” katanya.

Rahim berkata, pihaknya turut merampas hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM2 juta.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke jeti DM9 untuk siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 14 (3) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Kita sentiasa melakukan rondaan berkala bagi memastikan perairan negara tidak dimasuki nelayan asing sekali gus melindungi khazanah yang ada.

“Kerjasama semua pihak terutama nelayan tempatan diperlukan dalam melaporkan kegiatan nelayan asing bagi mengelak mereka mengaut keuntungan dengan menceroboh perairan negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 11:16 PM