DIEGO Maradona. FOTO AFP
DIEGO Maradona. FOTO AFP
AFP

Rom: Legenda Argentina, Diego Maradona menggambarkan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia tahun depan sebagai kehilangan ‘antara satu pasukan terhebat’ dalam bola sepak antarabangsa.

Juara dunia empat kali, Itali dinafikan tempat di pusingan akhir di Russia, semalam selepas diikat 0-0 oleh Sweden di Milan pada aksi kelayakan playoff kedua.

Keputusan itu memberikan Sweden tiket ke saingan berprestij itu menerusi agregat 1-0, susulan kemenangan di laman sendiri, minggu lalu.

“Saya amat kecewa apabila Itali tidak layak ke Piala Dunia. Pasukan Itali sentiasa menawarkan sesuatu yang mengujakan kepada kejohanan,” kata Maradona menerusi laman Facebooknya.

“Saya menonton perlawanan itu dan apa yang saya lihat ialah Itali bermain seperti yang Sweden mahukan iaitu menghantar bola.

“Dan mereka memiliki dua pertahanan tengah yang besar,” kata bekas penyerang Napoli itu.

“Kejohanan menjadi lebih sukar dan semakin sengit. Ia sesuatu yang menyedihkan apabila Itali, antara satu pasukan terhebat tersisih daripada Piala Dunia di Russia,” katanya yang muncul wira Argentina menjulang Piala Dunia pada 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 3:39 AM