Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

London: Tidak dinafikan apabila menyebut mengenai bintang bola sepak Argentina, nama pemain bertaraf bintang yang memiliki skil tinggi, Lionel Messi pasti menjadi sebutan ketika ini.

Tidak terkecuali legenda bola sepak Diego Maradona yang pernah melakar pelbagai sejarah tersendiri dalam arena sukan itu.

Dua nama itu cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya pemain yang dilahirkan di negara Amerika Selatan itu.

Bagi jurulatih kelahiran Argentina yang kini bertanggungjawab membimbing Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino, 43, beliau mempunyai pendapat tersendiri ketika diajukan soalan mengenai kedua-dua bintang terbabit.

Messi dianggap lebih hebat berbanding Diego Maradona hingga ada yang melabel Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pandangan itu diluahkan bekas pemain kelahiran Agentina yang juga legenda Spurs, Ossie Ardiles.

Ardiles yang juga rakan karib Pochettino itu sering memuji aksi Messi dan beliau menganggap bintang kelab Barcelona itu sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

“Saya tahu Messi kini berada pada kemuncak prestasi namun Maradona pula mempunyai keistimewaan tersendiri malah hingga hari ini saya tidak nampak mana-mana pemain yang mempunyai keunikan dan bakat sepertinya,” kata bekas pemain pertahanan Argentina itu.

Pochettino mula membimbing Spurs sejak setahun lalu.

Bapa dua anak itu tidak menyangka dapat berkongsi kepakarannya dalam bola sepak dengan membimbing antara kelab terbesar di England selepas Three Lions pernah menjadi ‘musuh’ dan salah satu pasukan yang menyekat peluang Argentina melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia 2002 di Korea Selatan-Jepun.

Pochettino ketika beraksi mewakili Argentina pada Piala Dunia 2002, melakukan kesalahan sukar diterima peminat La Albiceleste itu.

Kekasaran dilakukannya terhadap penyerang England, Michael Owen menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan David Beckham untuk memberikan kemenangan kepada Three Lions.

Dengan kemenangan itu, England yang memperoleh tiga mata penuh, berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan bersama Sweden manakala Argentina pula berputih mata selepas hanya mencatat satu kemenangan, satu kekalahan dan satu seri.

Mengimbas kembali kejadian itu Pochettino berkata, beliau mengaku kekalahan itu menyebabkan ramai peminat Argentina kecewa.

“Saya menjadi penjahat dan berasa begitu bersalah... anda tahu bagaimana peminat kami di Argentina, sebahagiannya menyalahkan saya. Namun, saya tetap akui keputusan pengadil ketika itu Pierluigi Collina betul dan perbuatan mengasari pemain lawan satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di Akademi Tottenham Hotspur, baru-baru ini.

Pernah membuat 20 penampilan bersama pasukan kebangsaan Argentina mulai 1999 hingga 2002, Pochettino hanya selangkah untuk mencipta sejarah sebagai pengurus Argentina pertama memenangi Piala Liga ketika Spurs menentang Chelsea di final di Stadium Wembley, 1 Mac lalu.

Beliau bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan bimbingan Jose Mourinho itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:25 AM