MESSI (tengah) mahu rakan sepasukan selesaikan misi Piala Dunia dengan kejayaan. FOTO/AFP
MESSI (tengah) mahu rakan sepasukan selesaikan misi Piala Dunia dengan kejayaan. FOTO/AFP
AFP

BUENOS AIRES: Kapten Argentina, Lionel Messi mengakui generasinya mempunyai hutang yang mesti diselesaikan di Piala Dunia Russia selepas kecewa dalam beberapa siri kejohanan besar sebelum ini.

“Kami berhutang kepada diri sendiri. Bukan kepada penyokong. Kami beraksi sebaik mungkin dengan mara ke tiga final namun setakat itu kejayaan kami,” kata Messi kepada Fox Sports.

Argentina tewas di tangan Jerman 0-1 pada final Piala Dunia 2014 dan dua kali dikecewakan Chile melalui sepakan penalti pada Copa America 2015 dan 2016.

“Kami menganggap Piala Dunia sebagai peluang terbesar, generasi seterusnya akan mengambil alih dengan beberapa pemain akan bertukar, ” menurut Messi lagi.

Penolong kapten, Javier Mascherano telah pun mengumumkan akan bersara daripada tugasan antarabangsa selepas tamat Piala Dunia ini sementara Sergio Aguero, Angel Di Maria dan Gonzalo Higuain berumur 30 tahun ketika beraksi di Russia.

Messi pula berusia 31 tahun ketika kejohanan berlangsung. Dia bagaimanapun belum membuat keputusan mengenai masa depan bersama Argentina dan bakal berusia 35 tahun ketika Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Piala Dunia di Russia adalah peluang terbaik kami. Argentina kerap menjadi pasukan pilihan berdasarkan imej dan sejarah namun kali ini kami tidak lagi pasukan pilihan. Sepanyol, Brazil, Jerman dan Perancis berada di atas kami,” kata Messi.

Argentina yang menewaskan Itali 2-0 di Manchester, Jumaat lalu akan beraksi bersama Iceland, Croatia dan Nigeria dalam Kumpulan D di Piala Dunia. Gergasi Amerika Selatan itu kali terakhir menjulang Piala Dunia pada 1986 yang menyaksikan Diego Maradona dinobat pemain terbaik kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 11:41 AM