Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 30 terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam kebakaran kilang mercun dan bunga api di kawasan industri Tangerang, dekat Jakarta, hari ini.

Menurut AFP, jurucakap polis Jakarta, Nico Afinta, kilang itu mempunyai 103 pekerja.

“Seramai 43 yang cedera dihantar ke tiga hospital. Setakat ini 23 mayat sudah ditemui," katanya kepada Kompas TV.

Menurut seorang anggota bomba, Oni Sahroni, mayat mangsa rentung sepenuhnya.

“Mereka yang maut rentung sama sekali sehingga sukar dikenal pasti,” katanya kepada Metro TV.

Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran kilang bunga api di Tagerang, Jakarta, hari ini. - Foto Berita Satu
Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran kilang bunga api di Tagerang, Jakarta, hari ini. - Foto Berita Satu

Reuters meletakkan angka korban sehingga 30 orang manakala AFP melaporkan sekurang-kurangnya 23 terbunuh.

Sebahagian bangunan kilang itu runtuh dalam kebakaran yang bermula pada sebelah pagi dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada tengah hari, dan kebakaran juga memusnahkan sejumlah kenderaan berdekatan.

Menurut saksi, mereka mendengar sekurang-kurangnya dua letupan besar.

Menurut jurucakap pihak berkuasa tempatan, Toni Rustoni, kilang itu baru enam bulan beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 5:22 PM
Anggota pasukan forensik polis Indonesia memeriksa mayat mangsa kebakaran kilang bunga api di Tagerang, Jakarta, sebelum dibawa ke hospital, hari ini. - Foto AFP
Anggota pasukan forensik polis Indonesia memeriksa mayat mangsa kebakaran kilang bunga api di Tagerang, Jakarta, sebelum dibawa ke hospital, hari ini. - Foto AFP