AP

Manila: Lebih 100 pekerja termasuk tiga warga Jepun cedera manakala sekurang-kurangnya tiga hilang selepas kilang membuat bahagian rumah terbakar kelmarin, kata pegawai.

Gabenor wilayah Cavite, Jesus Crispin Remulla berkata, kebakaran di kilang House Technology Industries berjaya dikawal tetapi bomba mengambil masa selama 18 jam untuk memadamkan api sepenuhnya.

Ujarnya, anggota bomba akan masuk untuk membuat pemeriksaan di kompleks kilang yang terletak di bandar General Trias di Cavite.

“Ramai pekerja terjun dari tingkap bangunan setinggi tiga tingkat itu untuk menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam kebakaran.

“Kira-kira 10 mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya kepada stesen televisyen ABS-CBN TV.

Bomba memberitahu, kebakaran dipercayai bermula di tempat untuk memanaskan bahagian rumah untuk di eksport ke Jepun.

Kira-kira satu pertiga daripada 15,000 pekerja kilang itu bertugas ketika kebakaran besar itu berlaku

Pihak bomba kini sedang mencari sekiranya masih terdapat mangsa yang masih terperangkap dalam kompleks kilang yang luas itu.

Kurangnya pengawasan terhadap keselamatan menyebabkan kebakaran dan kemalangan sering berlaku di kilang di Filipina.

Pada 2015, kebakaran di sebuah kilang membuat selipar di pinggir Manila menyebabkan 72 pekerja maut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 8:18 AM