Keadaan kilang mercun dan bunga api di Tangerang, Jakarta, yang terbakar mengorbankan 47 orang, hari ini. - Foto AFP
Keadaan kilang mercun dan bunga api di Tangerang, Jakarta, yang terbakar mengorbankan 47 orang, hari ini. - Foto AFP
Agensi

JUMLAH korban kebakaran kilang mercun dan bunga api di Tangerang dekat Jakarta, hari ini, meningkat kepada 47 orang manakala 46 lagi disahkan cedera.

Reuters melaporkan, jurucakap polis, Argo Yuwono, memberitahu Metro Television: “Kami sudah menemui 47 mayat. Seramai 46 lagi cedera dan dirawat di tiga hospital.”

Menurutnya, kilang di kawasan perindustrian di pinggir Jakarta itu mempunyai 103 pekerja.

Menurut seorang anggota bomba, Oni Sahroni, mayat mangsa rentung sepenuhnya.

“Mereka yang maut rentung sama sekali sehingga sukar dikenal pasti,” katanya kepada Metro TV.

Sebahagian bangunan kilang itu runtuh dalam kebakaran yang bermula pada sebelah pagi dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada tengah hari, dan kebakaran juga memusnahkan sejumlah kenderaan berdekatan.

Menurut saksi, mereka mendengar sekurang-kurangnya dua letupan besar.

Menurut jurucakap pihak berkuasa tempatan, Toni Rustoni, kilang itu baru enam bulan beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 7:01 PM