K DEVAN ketua jurulatih NSFC.
K DEVAN ketua jurulatih NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) tetap mengekalkan kuota empat pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan seorang daripada mereka sudah bersama pasukan manakala tiga lagi menjelang akhir minggu ini.

Pengurus merangkap ketua jurulatih, K Devan berkata, pemain import yang sudah bersama setakat ini ialah pemain tengah, Bae Beom Geun dari Korea Selatan.

Katanya, tiga lagi pemain membabitkan dua dari Brazil yang beraksi di posisi pertahanan dan serangan dan pernah beraksi di Liga Indonesia manakala seorang lagi dari Cameroon.

"Dua daripada import berkenaan sedang dikuarantin dan seorang lagi pula dijangka tiba di sini (Seremban) pada 15 Januari ini. Nama-nama mereka akan diumumkan kemudian.

"Kehadiran mereka dijangka akan melengkapkan senarai pembentukan pasukan Negeri Sembilan musim ini yang terdiri daripada 18 pemain tempatan dan empat import," katanya pada sidang media majlis pengumuman penajaan pakaian rasmi NSFC musim 2021, di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), hari ini.

Majlis disempurnakan Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang turut hadir Timbalan Presiden PBNS, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Devan berkata, hampir 90 peratus yang menganggotai pasukan adalah pemain baharu manakala hanya tiga pemain musim lalu yang dikekalkan iaitu penjaga gol, Mohd Kaharuddin Abdul Rahman, Danial Hadri Affendi Jagan (pertahanan) dan pemain tengah, A Selvan.

Sementara itu, Mohamad Zaquan Adha Radzak tidak menganggap pelantikannya sebagai kapten pasukan sebagai tekanan walaupun sandaran besar diletakkan barisan jurulatih dan pihak pengurusan NSFC.

Sebaliknya, bekas penyerang Kedah itu menganggap ia sebagai cabaran yang perlu di pikul dan laksanakan demi untuk mengembalikan semula maruah dan reputasi pasukan itu dalam saingan Liga M musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 10:20 PM