TUNKU Syed Razman (barisan belakang tengah) pada majlis memperkenalkan pemain di Nilai. -FOTO Mohd Amin Jalil.
TUNKU Syed Razman (barisan belakang tengah) pada majlis memperkenalkan pemain di Nilai. -FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Nilai: Negeri Sembilan FC (NSFC) optimis dengan barisan pemain yang ditampilkan musim ini dengan menyasarkan untuk menduduki pencapaian lebih baik daripada tempat kesembilan saingan Liga Super musim lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) merangkap Pengerusi NSFC, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, berkata meskipun dengan peruntukan kewangan yang tidak besar berbanding sesetengah pasukan lain, namun pihaknya yakin hasrat Negeri Sembilan untuk bersaing dengan baik dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), boleh diterjemahkan.

"Hasrat kita untuk memberikan saingan dengan lebih baik dalam kempen Liga M musim ini sama ada dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Walaupun dengan sumber kewangan yang tidak besar, tapi saya yakin dengan barisan pemain yang menganggotai pasukan kali ini untuk merealisasikan sasaran kita menduduki kedudukan lebih baik daripada tempat kesembilan Liga Super musim lalu.

"Dengan bimbingan ketua jurulatih baharu, Azzmi (Ab Aziz), saya yakin pemain sudah bersedia untuk memulakan cabaran dalam Liga Super musim ini," katanya kepada media selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Negeri Sembilan bagi saingan Liga M musim 2024-2025, di Youth City di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PBNS, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri merangkap Naib Presiden PBNS, Mustapha Nagoor.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Razman turut melahirkan rasa simpati terhadap insiden yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 6:45 PM