DEVAN belum menerima sebarang maklumat mengenai kedudukannya dalam NSFC. FOTO IHSAN NSFC
DEVAN belum menerima sebarang maklumat mengenai kedudukannya dalam NSFC. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan akui sehingga kini belum menerima sebarang maklumat mengenai kedudukannya sebagai pengendali pasukan Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang bakal bermula Mei depan.

Menurut pengendali kelahiran Bahau berusia 62 tahun itu, beliau masih menunggu perkembangan lanjut daripada NSFC, berkaitan kedudukannya dalam pasukan itu.

"Saya tak tahu, setakat ini belum ada apa-apa maklumat atau sebarang pemakluman yang diterima daripada pihak kelab atau persatuan.

"Saya tak terima apa-apa mesej ke atau apa-apa surat tentang perkara itu (kedudukan ketua jurulatih NSFC)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa badan pengelola bola sepak negeri itu sudah membentuk satu jawatankuasa pemilihan yang dibarisi oleh kepimpinan tertinggi PBNS dan pengurusan NSFC, bagi memilih Ketua Jurulatih Liga Super yang baharu.

Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri memaklumkan jawatankuasa berkenaan akan mengumumkan nama ketua jurulatih dalam masa terdekat.

Dalam kenyataan itu juga, beliau tidak mengumumkan kedudukan Devan selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan musim lalu.

Mengulas lanjut, Devan berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada NSFC terhadap kedudukannya dalam pasukan berkenaan.

"Saya pun masih menunggu tawaran daripada Negeri Sembilan..mana tahu. Dengan pasukan lain pun tak tahu lagi sebab belum ada hitam putih," katanya yang mengakui ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super lain tetapi belum ada keputusan muktamad mengenai tawaran berkenaan.

Sebelum ini, Devan yang membimbing Negeri Sembilan sejak 2021 menyatakan minatnya untuk terus membimbing skuad Hobin Jang Hobin bagi mengharungi saingan Liga M musim 2024-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 7:46 PM