PESAKIT kanser perlu kekal dalam persekitaran positif bantu pulihkan emosi, psikologi. - FOTO Pexels
PESAKIT kanser perlu kekal dalam persekitaran positif bantu pulihkan emosi, psikologi. - FOTO Pexels
Nurul Husna Mahmud


Takut dan keliru melampau antara punca pesakit kanser menjauhkan diri atau menghidari individu lain.

Keadaa itu perlu difahami dan ia reaksi normal dialami setiap pesakit kanser dan mereka sangat memerlukan sokongan emosi serta sosial dalam membantu mengharungi penyakit dihidapi.

Hal itu diakui sukarelawan Persatuan Kanser KanWork, Nor Haisnah Naian, 52, yang juga pemandiri kanser payudara sejak empat tahun lalu.

Beliau yang juga pesara jururawat berkata, dia mengambil masa setahun untuk benar-benar pulih daripada impak emosi atau psikologi akibat penyakit kanser yang dialaminya.

"Saya sendiri pernah berada dalam fasa penafian iaitu tidak menerima hakikat saya mengalami kanser payudara.

"Apabila saya dapati ada bonjolan pada payudara, jauh di sudut hati sudah dapat tahu kemungkinan alami kanser.

"Saya tangguh pemeriksaan, selain sibuk dengan tuntutan kerja apatah lagi ketika itu Covid-19 sedang melanda dunia pada 2020.

"Ia berlarutan sehingga tiga bulan dan bonjolan itu masih ada. Saya ambil keputusan hadapi sahaja dengan menjalani pemeriksaan secara terperinci.

"Doktor mengesahkan saya lami kanser dan bonjolan itu saiznya hampir dua sentimeter," katanya.

Sebagai anggota perubatan, dia sudah dapat gambaran mengenai peritnya liku perjalanan rawatan perlu dihadapi sebagai pesakit kanser.

"Saya bersyukur dalam proses menjalani rawatan termasuk pembedahan, keluarga dan rakan sekerja banyak membantu.

"Kemudian saya jalani pembedahan membuang payudara ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) fasa kedua.

"Saya bersyukur urusan dipermudah apabila keluarga sentiasa ada bersama sepanjang mengharungi proses rawatan.

"Penting ada 'circle' atau sokongan emosi kuat daripada keluarga untuk pesakit pulih dengan cepat," katanya ketika ditemui dalam Program Kolaborasi Columbia Asia Hospital Bukit Rimau dan Breast Cancer Welfare Association (BCWA) baru-baru ini.

Dalam program kolaborasi terbabit Columbia Asia Hospital Bukit Rimau menandatangani dokumen momerandum persefahaman (MoU) bersama persatuan kanser bagi mendapatkan khidmat sokongan sosial dalam membantu pesakit kanser.

Kata Nor Haisnah, platform atau medium seperti kumpulan sokongan terdiri daripada pemandiri kanser sangat penting dalam membantu pesakit mengharungi penyakit mereka.

"Usaha seperti dilakulan Columbia Asia Hospital Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor mewujudkan program 'Sembang Survivor' dapat bantu mewujudkan ruang dan peluang lebih baik kepada pesakit.

SEMBANG Survivor bantu pesakit kanser raih sokongan emosi. - FOTO Aziah Azmee
SEMBANG Survivor bantu pesakit kanser raih sokongan emosi. - FOTO Aziah Azmee

MEMORANDUM perjanjian antara Columbia Asia Hospital Bukit Rimau dan BCWA. - FOTO Aziah Azmee
MEMORANDUM perjanjian antara Columbia Asia Hospital Bukit Rimau dan BCWA. - FOTO Aziah Azmee

PESAKIT kanser perlukan kumpulan sokongan. - FOTO Aziah Azmee
PESAKIT kanser perlukan kumpulan sokongan. - FOTO Aziah Azmee

"Penting pesakit mendapat aura atau atmosfera positif supaya mendapat rawatan wajar dan itu membantu meningkatkan mandiri mereka dalam melawan kanser," katanya.

Tip penting tidak lupa dititipkan pakar itu iaitu menyarankan komuniti termasuk ahli keluarga tidak memberi saranan kepada pesakit cara tangani kanser.

Sebaliknya menemani dan menjadi pendengar yang baik terhadap luahan pesakit kanser itu.

Bagi Pengurus Rakan Kongsi dan Perhubungan Awam BCWA, Sumitra Selvaraj, pihaknya mahu mewujudkan komuniti lebih positif bagi pesakit kanser.

"Banyak 'taboo' atau perkara perlu diubah dalam masyarakat kita untuk menangani penyakit kanser.

"Taboo yang saya maksudkan ialah dalam penjagaan diri atau kesihatan tubuh. Contohnya etika dalam pemeriksaan payudara yang mana jarang ditekankan kerana bahagian itu terlalu sulit dikongsi secara terbuka.

"Budaya begini menghalang kita mengesan kanser pada awal dan sebaliknya dalam didikan orang tua kepada anak gadis terutama ditekankan pemeriksaan payudara berkala," katanya.

Selain itu, kata Sumitra, persepsi perlu diubah dalam masyarakat lagi ialah mengenai kanser itu sendiri bukan lagi penyakit menakutkan.

"Saya lihat kanser sesuatu yang boleh dirawat dan dengan penjagaan kesihatan diri termasuklah makanan dan komitmen terhadap rawatan, boleh mandiri (survive) lebih 15 tahun.

"Malah, teknologi dalam perubatan bertambah baik. Masyarakat hanya perlu tampil lakukan pemeriksaan di hospital atau perubatan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Radioterapi dan Unit Penyelidikan Klinikal Columbia Asia Hospital Bukit Rimau, Mohd Khairul Mohd Zambri berkata, sokongan kepada pesakit bukan sahaja membabitkan perubatan.

Malah, sokongan dari segi emosi dan psikologi juga tidak kurang kritikal ketika dalam proses pemulihan.

"Pengalaman bersama pesakit, saya dapati sokongan emosi penting untuk membantu mereka berjuang menangani kanser.

"Slot Sembang Survivor iaitu perkongsian pemandiri kanser membantu pesakit mendapat gambaran dalam proses mereka menjalani perubatan.

"Kaedah ini lebih baik kerana secara semula jadinya pesakit kanser mudah menerima nasihat dan saranan daripada bekas pesakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:00 AM